Bunga Bunga Bahagia Bab 1




BAB SATU

LAMA foto didepannya direnung tanpa perasaan. Sukar untuk digambarkan perasaannya sebaik saja melihat foto mamaparkan pasangan pengantin bersanding disinggahsanayang menggunakan kombinasi berwarna pink, hitam itu.Satu persatu foto pelbagai aksi dari majlis akad nikah, majlis persandingan, makan beradab dan gambar outdoor dipandang.Setitis demi setitis airmatanya mengalir. Dari hanya teresak-esak sebentar tadi kini menjadi suatu tangisan.
            Maryam hanya mampu memerhati, dia tahu Nuha Qalisya sedang berduka cuma dia tidak tahu bagaimana cara untuk meredakan kesedihan teman sepermainannya itu. Dia mengambil  foto yang bertaburan di katil.Satu persatu dilihatnya.
Pengantin perempuan yang sememangnya turut dikenalinya itu tersenyum malu-malu apabila si suami mengucup dahinya sebagai simbolik mereka kini sudah bergelar suami isteri.Dania! Gadis itu berpasangan dengan kekasih Nuha Qalisya, Zariff Adam di pelamin.Gadis yang dikatakan lelaki itu sekadar bekas tunang Zariff Adam itu kini sah menjadi isteri lelaki itu.
Maryam meletakkan semula foto itu ke tempat asal. Tangan Nuha Qalisya diramas perlahan, bahu diusap lembut, seolah-olah mahu meredakan apa yang bersarang dibenak gadis itu saat ini.Sesekali air mata dipipi Nuha Qalisya disapu.
“Mar kenapa dia sanggup buat aku begini? Apa salah aku pada dia. Kalau dia tak cintakan aku kenapa dia tak berterus terang pada aku. Aku sentiasa cakap pada dia, kalau dia ada perempuan lain yang lebih layak untuk digandingkan dengan dia, berterus terang dengan aku. Aku sanggup undur diri untuk kebahagiaan dia,” keluhnya buat sekian kali.
Langsung dia tidak terfikir bakal berdepan situasi sebegini dalam tempoh terdekat ini.
“Aku tak tahu Nuha, tetapi semua ini dugaan untuk kau. Allah mahu menduga kau sejauh mana kau tabah mengharungi dugaan ini.Mungkin Zariff bukan jodoh jodoh kau dan mungkin juga diluar sana ada jodoh kau,” celah Maryam.
Dia juga sebentar tadi terkejut melihat foto berkenaan. Apa permainan kau Zariff Adam? Geramnya usah dikata. Jika ada lelaki itu di depan matanya, pasti Zariff Adam akan kena sekurang-kurangnya penampar jepunnya.
            “Aku yang bodoh kan?” suara Nuha Qalisya begitu dingin. Dia seperti mahu menghantuk kepalanya di dinding.Kerana kebodohan dirinya, dengan mudah dia diperdayakan Zariff Adam.
“Kau tak bodoh Nuha..semua ni bukan salah kau tetapi salah Zariff. Jadi jangan cuba nak salahkan diri sendiri. Aku tak suka bila kau cakap diri kau bodoh,” marah Maryam.
“Ini.. ini yang bodoh. Kau tahu tak kenapa aku kata dia bodoh? Sebabnya dia kecewakan kawan karib aku. Dia tak tahu betapa bertuahnya dia bercinta dengan kawan karib aku tu,”

“Aku tanya dia Mar… Katanya, hanya aku gadis dihatinya, tetapi hari ini, kau lihat sendiri buktinya… dia tipu aku Mar…Zariff tipu aku. Kalau dia boleh berkahwin dengan perempuan tu ketika masih berhubung dengan aku, mana letaknya aku dalam hati dia,”
Maryam membiarkan Nuha Qalisya mengeluarkan isi hatinya. Mahu dibalas, dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dicakapkan untuk meringankan keresahan rakan karibnya itu. Akhirnya dia hanya membiarkan temannya itu meluahkan isi hatinya.
“Aku tahu dia tak sepadan dengan aku.Usia aku jauh lebih tua dari dia, tetapi dia kerap berkata usia bukan penghalang. Dia sedapkan hati aku tetapi sekarang….,” esakan Nuha Qalisya makin kuat. Pantas Maryam mendakap tubuh kecil itu. Dia turut merasai kesedihan hati teman akrabnya.
“Aku tahu Nuha… aku tahu kau bersedih, tetapi jangan terlalu ikutkan perasaan kau. Kau belum bertanyakan kesahihan gambar itu dengan Zariff. Kita tak tahu sejauh mana tulennya gambar itu,” Entah bagaimana dia boleh terfikir idea tak masuk akal tu. Apa yang pasti, dia sekadar mahu menenangkan hati Nuha Qalisya. Mahu meredakan kesedihan temannya itu.
Esakan Nuha Qalisya masih kedengaran tetapi kini ia menjadi semakin perlahan. Gambar yang terdampar di atas tilam itu dilihat kembali, satu persatu.Maryam sekadar melihat kelakuan temannya itu. Beribu makian dia hadiahkan kepada lelaki bernama Zariff Adam kerana sanggup melukakan hati Nuha Qalisya sedemikian rupa.
 “Mar kau lihat gambar ni... kau tak rasa ke gambar ni memang asli? Kau tak rasa ke lelaki yang bersanding di pelamin yang hodoh ni adalah Zariff Adam Tan Sri Kamarul?. Aku tak rasa gambar ni super impose atau photoshop. Kalau gambar dia dengan perempuan ni saja mungkin jugak aku boleh percaya dia dianiaya … tapi ni.. kau tengok ni takkan gambar keluarga dia pun orang nak buat super impose juga. Tak masuk akal langsung,” luahnya.
Dia masih lagi meneliti satu persatu gambar berkenaan. Sesekali juga Nuha Qalisya menyeka kelopak matanya. Maryam hanya memerhati kelakuan temannya itu. Beberapa kali dia menepuk bahu Nuha Qalisya meminta gadis itu bersabar.
“Aku tak tahu nak cakap apa lagi. Yang aku boleh cakap, kau bersabarlah. Mungkin ini ujian untuk kau. Allah mahu menguji tahap kesabaran kau, sejauh mana kau sabar menerima ujian ini,” Maryam mula mengeluarkan skill ceramahnya. Moga-moga Nuha Qalisya termakan nasihatnya biarpun tidak banyak.
“Kau lihat  sendiri gambar ni bukan sekeping dua tetapi berpuluh-puluh keping. Siap posing pelbagai cara, bertukar baju tujuh lapan.Kau rasa ada orang sanggup ke nak buat sampai ke tahap itu?Nak menganiaya dia? Dan bersusah payah hantar gambar ni pada aku?” tanya Nuha Qalisya lagi.
Maryam tidak mampu bersuara. Sekejap dia menggeleng kepala, sekejap dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal.Dia sendiri buntu untuk membantu Nuha Qalisya. Maryam sudah kehabisan modal untuk memujuk. Suasana rumah setingkat itu agak suram tidak seperti biasa yang riuh rendah dengan suara mereka berdua.
“Nuha… macam aku cakap tadi, kita tanya dulu Zariff mengenai kesahihan gambar perkahwinan dia ni, betul ke tak gambar dia. Kalau betul dia dah kahwin kau buat keputusan terbaik untuk masa depan kau. Tinggalkan dia kerana terbukti dia tak jujur dengan kau, dia tak setia dengan kau.
“Aku tahu kau tak kuat untuk melaluinya sorang diri tetapi kau jangan lupa kau masih ada aku, Siti Nur Maryam Haji Shariff akan tetap disisi kau. Aku yakin bukan aku saja tetapi rakan-rakan  dan seluruh keluarga kau akan berada di belakang kau,” Maryam turut tersedu. Airmata yang kembali mengalir dipipi gebu Nuha Qalisya disapu lembut.
“Apa salah aku Mar… apa salah aku pada dia? Mengapa dia sanggup buat aku macam ni… Sakit sangat kat sini,” Nuha Qalisya masih lagi merintih. Jarinya diletakkan didada. Berulang kali juga dia tepuk pipinya, sakit! Itu tandanya ia bukan fantasi, tetapi realiti.
Maryam terdiam. Sukar untuk dia membalas kata-kata teman baiknya itu. Kalau dia  merasa sedih pastinya Nuha Qalisya lebih-lebih lagi.
“Sabar Nuha.. aku tahu kau memang kuat. Ini dugaan untuk kau. Siapa kita untuk mempersoalkannya. Kau kena ingat Allah pilih kau untuk menerima ujian ini. Jadi kau perlu reda dan aku yakin suatu hari nanti kau akan nampak hikmahnya,” balas Maryam.
“Aku tak marah dia kahwin. Serius Mar aku tak marah tetapi aku marah dia sebab tak nak berterus terang.Aku dah bersedia menerima ketentuan Ilahi kerana aku tahu perbezaan usia pasti menjadi penghalang dalam hubungan kami.Aku tak menaruh harapan tinggi untuk hidup bersama-samanya.
“Aku tak pernah dibawa berjumpa familinya. Jadi aku tak tahu penerimaan famili dia jika mereka tahu kami bercinta. Kau tak nampak ke peliknya hubungan cinta kami ni. Setiap kali aku ajak jumpa family dia ada saja alasan yang diberikan. Busy, meeting, jumpa claint tapi akhirnya aku sudah memperoleh jawapan keengganannya itu,” sambungnya.Cepat-cepat dia menyapu airmata yang mula menitis.
 “Nuha Qalisya binti Mohd Razlan…” nama penuhnya kini dipanggil. Kalau sudah dipanggil nama penuh, pasti Siti Nur Maryam binti Haji Shariff sudah hilang sabar dengan dirinya.
“Kau kena bangkit sekarang.Wake up Nuha, wake up… jangan jadi lemah. Aku nak kau pergi mandi, lepas tu call mamat malaun tu. Ajak dia jumpa kau esok jangan lupa bawak foto ni semua. Kau susun elok-elok atas meja nanti. Tengok apa yang dia nak cakap.”Dia tidak mahu Nuha Qalisya berterusan menjadi lemah.
Foto yang dikumpul sebentar tadi dimasukkan kembali ke dalam sampul. Pantas Nuha Qalisya menuju ke bilik air. Namun sempat dia berpusing dan melemparkan senyuman.Walaupun agak tawar dan tidak berperasaan, Maryam tahu Nuha Qalisya sudah mendapat kembali semangatnya.
“Thanks Mar… aku tak tahu bagaimana keadaan aku jika kau tiada…” Sisa airmatanya disapu perlahan. Dia mengukir senyuman, walaupun tidak semanis biasa tetapi Maryam tahu Nuha Qalisya sudah mendapat kembali kekuatannya.
Terserlah lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Cantik! Getus Maryam. Dia terpaku seketika.Kalau dia perempuan pun terpikat dengan kecantikan Nuha Qalisya, apatah lagi lelaki.Kau lelaki yang tak pandai menghargai wanita secantik Nuha, Zariff Adam, kutuknya.
Biarpun temannya itu berusia 33 tahun tetapi langsung tidak menampakkan usia sebenarnya. Wajah gadis itu langsung tidak dimamah usia membuatkan temannya itu nampak jauh lebih muda daripada usia sebenar.
Nuha Qalisya terlalu menjaga pemakanannya. Tidak seperti dirinya yang makan apa saja, tolak batu dan kayu saja. Itu yang kerap diusik Nuha Qalisya  padanya. Kerap juga dia katakan pada Nuha Qalisya, dia juga berpantang dalam pemakanannya tetapi pantang ada di depan mata.
 Mungkin kerana itu juga, Zariff Adam pada awal perkenalan mereka bagaikan tidak mempercayai apabila Nuha Qalisya memberitahu usia sebenarnya.
“Itu gunanya aku jadi  kawan kau Nuha…kita sudah berkawan sejak kecil, sakit kau…sakitlah aku. Luka kau maka turut terlukalah aku,”
“Kalau jari aku terluka kena pisau kau pun nak hiris jari kau juga ke?” tiba-tiba soalan kurang bijak daripada Nuha Qalisya. Maryam jengkel matanya kepada Nuha Qalisya. Pantas saja gadis itu ditolak masuk ke bilik air.
Terkekek-kekek Nuha Qalisya ketawa apabila diperlakukan sebegitu.Tak sampai beberapa minit bunyi air kedengaran dan kemudian lagu  ‘Sampai Hati’ dendangan Ameng daripada Kumpulan Spring memenuhi ruang bilik air yang pasti dinyanyikan Nuha Qalisya dengan penuh perasaan.
Maryam tidak pernah terfikir begini kesudahan kisah cinta temannya dengan Zariff Adam. Pertemuan tiga tahun lalu di pusat peranginan membawa kepada perhubungan hati. Lebih tepat lagi penyatuan dua hati. Walaupun usia Zariff Adam lebih muda tiga tahun daripada Nuha Qalisya.
 Ternyata lelaki itu mempunyai karisma tersendiri. Pada awalnya Maryam kurang yakin dengan hala tuju hubungan itu. Mereka berdua begitu berbeza. Namun, sikap matang Zariff Adam berbanding lelaki yang seusia dengannya memikat hati temannya.
Sejak itu bermulalah kisah cinta antara mereka. Namun, hari ini segalanya berubah hari ini. Sekelip mata saja temannya itu terluka.
Sampul yang dia ambil dari peti surat rumah mereka pagi tadi meranap seluruh impian temannya itu dan pastinya akan membuatkan gerhana dihati Nuha Qalisya berpanjangan. Namun dia barharap temannya itu akan terus tabah dan sebagai rakan paling akrab, Maryam berjanji tidak akan membiarkan temannya itu keseorangan menempuh dugaan ini.




Mimpi Kita Sama Prolog








PROLOG

Anak dara tua, atau perkataan lebih sedap didengar sikit, andartu. Istilah itu sinonim dengan wanita yang belum berkahwin, macam dia ni. Tapi salahkah dia jika sampai sekarang dia masih belum menamatkan zaman gadisnya.
Adakah salah dia juga jika sampai sekarang tiada lelaki yang mahu meminangnya.Sungguh tidak adil dunia ini. Tidak betul ke apa yang dia perkatakan itu. Lelaki hanya mahukan yang muda remaja, jelita, solid molid tetapi dia sudah melangkau angka 36 tahun.
Biarlah dia perkenalkan dirinya dulu.Namanya Airis Ilmani binti Datuk Hassani, panggil saja Airis. Rasa lebih cun kot… bekerja sebagai wartawan akhbar dan pastinya kerjaya itu  menuntut dia memberi komitmen sepenuhnya.
Mungkin juga sebab itu dia sampai sekarang belum berkahwin lagi.Hish.. Airis ada pula macam tu..dah macam mama pun ada.
Dia belum berkahwin sebab belum sampai jodoh dia lagi bukan disebabkan kerjaya yang dipilihnya.Adik-adik sudah kahwin disebabkan kerana jodoh mereka sudah sampai.Tetapi itulah… mama kerap menyalahkan kerjaya yang dia pilih.
Eh mama namanya  Datin Umi Kathom, macam nama pelakon dulu-dulu tu. Mama cantik? Memanglah, kalau tak takkan waliq jatuh cinta.Waliq?Waliq orangnya sederhana tetapi kerap menyebelahi dirinya setiap kali mama berleter.
Berbalik pada mama… kata mama kerana kerjaya yang dia pilih inilah sampai sekarang dia belum berkahwin lagi. Salah lagi ke dia sebab bergelar  wartawan?Itu persoalan yang membelenggu dirinya kebelakangan ini.
Kalau dia tersalah pilih kerjaya mengapa ramai saja rakan sealiran dan sekerjanya menamatkan zaman bujang mereka. Nadia, Wanda, Sofea, dia hanya mengambil contoh beberapa rakannya  seangkatan dengan usianya yang sudah menamatkan zaman gadis mereka.
Jadi tidak sepatutnya mama menyalahkan kerjayanya.Sepatutnya mama jadi backup pada dirinya apabila kerap disindir sanak saudara. Ni tak, mama sama naik mahu mengenakan dirinya.
Nasib baik, walid sporting orangnya.Walaupun sampai sekarang jodohnya belum sampai, waliq tidak pernah melatah.Malah prinsip hidup waliqnya membuatkan dia begitu menghormati waliq.
“Jodoh anak waliq belum sampai lagi. Kenapa Airis kalut sangat ni. Sepatutnya Airis berdoa kepada Allah supaya menemukan jodoh Airis tu. Jodoh ni bila dah sampai, dia datang sepantas kilat,” nasib baik waliq tak seperti mama.
Waliq masih berpegang kepada prinsip kalau ada jodoh tidak ke mana.Kalau sudah sampai jodohnya, tidak akan ke mana. Allah akan gerakkan hatinya dan hati si dia untuk bersatu.

Jodoh Daripada Dia Prolog







PROLOG

            Nur Indah tidak berhenti mengeluh sejak balik dari kedai dobinya petang tadi. Pertemuan yang tidak disengajakan dengan lelaki itu membuatkan dia dia seketika. Sudahnya sekarang, dia tidak henti-henti termenung.
Malangnya lelaki itu sudah tidak  mengenalinya lagi. Dia tidak merasakan lelaki itu  berpura-pura tetapi memang dirinya langsung tidak dikenali. Masih terbayang diruang matanya pertemuan itu.
Ketika itu dia hampir putus nafas melihat lelaki itu. Lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya tetapi lelaki itu tetap berwajah selamba. Tiada langsung riak terkejut melihat kehadirannya di situ.
“Saya pernah mengenali puan ke?” katanya hairan. Hairan dia melihat seorang wanita muda memandangkannya tidak berkelip.
Nur Indah  hanya mampu menggeleng kepalanya. Kalau lelaki didepannya itu tidak mengenalinya lagi buat apa dia mahu menggali kembali kenangan pahit ketika bersama lelaki itu lima tahun lalu.
“Ta.. takkkk..” hanya itu yang termampu dia kata. Suaranya antara dengar dengan tidak. Terasa mahu mengalir air matanya melihat lelaki itu berwajah selamba sedangkan dia seolah-olah mahu melenyapkan diri dari situ.
“Saya pergi dulu,” cepat saja kakinya mahu melangkah. Kelopak matanya di kesat cepat bimbang dilihat lelaki itu.
“Puan… puan..”
“Kenapa saya rasakan puan menyembunyikan sesuatu daripada saya. Adakah…” belum sempat dia menghabiskan kata-kata itu, Nur Indah sudah menyampuk.
“Tak.. tak… kita tidak pernah bertemu sebelum ini, kalau itu yang encik mahu tahu. Usah encik beratkan kepala encik untuk berfikir perkara itu. Assalamualaikum,” dia berlalu.  Pintu kaca kedai dobinya di buka.
Nur Indah mengeluh. Kenapa mereka dipertemukan lagi.  Satu persatu kejadian sedih lima tahun lalu  terimbau kembali dalam benak fikirannya. Kalau diberi peluang, dia memilih untuk tidak  mengenali lelaki itu. Memilih untuk tidak melukakan ibu bapa dan seluruh keluarganya.
 Lelaki itu bukan saja meninggalkan dirinya tetapi juga mengubah graf hidupnya 100 peratus. Kalau lelaki itu sengaja mahu melupakan diri, buat apa dia mahu mengingatinya lagi.
 Biarlah.. dia masih mempunyai umi, ayah dan ahli keluarganya. Mereka banyak membantunya untuk bangkit semula selepas kejadian itu. 

Bunga Bunga Bahagia Prolog










PROLOG

              NUHA QALISYA kini diulik bahagia.Wajah Encik Suami dipandang lama, selepas menempuh pelbagai onak duri, dia dan Encik Suami akhirnya bersatu juga dalam alam rumahtangga. Baru sebentar tadi Encik Suami melafazkan akad nikah yang pastinya dinikahkan sendiri oleh babahnya. Suasana waktu itu begitu hening, airmatanya laju menitis sebaik saja selesai upacara membatal air sembahyang dilakukan.
Umi turut mengesat air mata, adik-adiknya yang seramai empat orang itu juga menarik nafas lega. Along mereka sudah menemui kebahagiaan. Dalam usia mencecah 33 tahun, akhirnya  Nuha Qalisya Mohamad Razlan menamatkan zaman gadisnya. Usia yang  dirasakan agak terlewat untuk membina keluarga. Dia sendiri tidak menyangka akan menemui titik bahagia dalam  hidupnya.   

             Tatkala adiknya  sudah lama mengecapi alam rumahtangga dan mempunyai cahayamata barulah dia bergelar isteri kepada Akif Irham, lelaki yang muda tiga tahun daripada usianya. Namun, siapa dia untuk mempertikaikan semua itu kerana dia tahu tiada apa yang mustahil di dunia ini. Semuanya adalah atas keizinan dari-Nya.
              
              Sejak berbulan lamanya dia cuba menidakkan kata hatinya, menolak kehadiran Akif Irham dalam hidupnya namun akhirnya dia akur lelaki itu adalah insan terbaik yang dikirimkan Allah untuk menjadi raja dihatinya. Indahnya perancangan Allah, berbulan lamanya  dia menderita tetapi hari ini dia diulik bahagia.
Allah kirimkan kepadanya seorang lelaki untuk hidup bersamanya. Sikap Akif Irham yang matang, tidak pernah mendesak dan banyak mengalah akhirnya membuka mata dia untuk menerima huluran kasih lelaki itu dan selepas enam bulan bertunang, dia sah menjadi suri kepada Akif IrhamTan Sri Zain Azran.
                 
                “Sayang….” Lamunan Nuha Qalisya terhenti. Wajah si suami di pandang penuh kasih sayang. Akif Irham yang masih lengkap berpakaian pengantin berbaring sambil menopang dahu, kedua kakinya diangkat tinggi. Huh, sekali pandang sudah macam anak dugong rupanya. Matanya tidak lepas merenung wajah Nuha Qalisya yang duduk berhampirannya. Kalau dulu gadis manis itu hanya tertunduk malu apabila direnung tetapi sejak bergelar tunangannya, Nuha Qalisya sudah berani bertentang mata dengannya.Kadangkala dia yang kalah dengan renungan tajam Nuha Qalisya.
Nuha Qalisya juga masih lengkap berpakaian pengantin.Terasa begitu penat kerana sehari suntuk dia dan Akif Irham melayan tetamu yang hadir ke majlis persandingan mereka di kampung halamannya di Terengganu. Betisnya  dilunjur dan diurut perlahan bagi menghilangkan lenguh. Apa tidaknya, sejak pagi tadi dia langsung tidak sempat untuk duduk-duduk.

                “Sayang… menung apa lagi tu?” soal Akif Irham lagi. Nuha Qalisya menoleh. Jari jemarinya yang rancak mengurut betis kanannya terhenti. Dia melemparkan senyuman paling manis kepada Akif Irham, lelaki yang berjaya mencuri hatinya selepas Zariff Adam.
Tiba-tiba hatinya dipagut sayu, lukanya terlalu dalam akibat perbuatan lelaki itu. Penipuan Zariff Adam sudah sampai ke kemuncak, bukti yang ada ditangannya tidak memungkinkan dia menerima lelaki itu lagi dalam hidupnya. Cukuplah sekali ditipu, tidak  akan ada dua atau ketiga kalinya.
Pertemuan dengan sepupu lelaki itu yang merakam gambar perkahwinan Zariff Adam dan Dania membongkarkan segala-galanya.  Foto itu memang asli, bukan teknik super impose atau menggunakan fotoshop seperti yang didakwa Zariff Adam.

                     Lebih membuktikan lagi apabila dia berjumpa lelaki itu dengan Dania berpimpinan ketika dia ke kedai buku di Jalan Masjid India. Walaupun bukti sudah di depan mata, walaupun Dania yang ditemuinya itu sedang hamil lelaki itu masih tega masih menafikan kewujudan Dania sebagai isterinya.
Mereka berkahwin atas dasar cinta tetapi sanggup Zariff Adam menafikan hak Dania sebagai isterinya. Isteri tetap isteri. Cuma yang pelik kenapa lelaki itu tega berbohong seolah-olah kejadian itu tidak pernah berlaku dalam hidupnya.
  
                   Tiada sekelumit rasa bersalah dihati bekas kekasihnya itu tatkala menzahirkan pembohongannya kepada Nuha Qalisya.
Walau berpuluh kali Zariff Adam merayu, hatinya masih enggan memaafkan lelaki itu. Kata suaminya, hati Nuha Qalisya kini sekeras waja mana mungkin dapat dilenturkan dalam sekelip mata. Tetapi siapa tahu, mungkin suatu hari nanti kemaafan dapat dihulurkan kepada insan yang pernah bertakhta dihatinya itu. Dia tahu jika masa itu tiba dia akan belajar memaafkan  Zariff Adam.

                  “Sayangggggg…” panggil Akif Irham lagi apabila melihat si isteri masih lagi tenggelam dalam lamunan panjang. Tangan Akif Irham melingkar dibahunya.Ubun-ubun si isteri dicium penuh kasih.Wajah Nuha Qalisya dipandang dengan perasaan sarat kasih. Sesungguhnya dia amat bertuah.
Akhirnya, gadis itu menjadi miliknya.Dia bersyukur dengan kurniaan Allah. Sesungguhnya Nuha Qalisya adalah  kurniaan Allah yang tidak ternilai buatnya.  Nuha Qalisya senyum. Dia rapatkan tubuhnya pada Akif Irham.   
            
                “Terima kasih kerana menerima Nuha sebagai isteri abang. Nuha tahu, diri ini tidak sesempurna mana, jadi tanggungjawab abang untuk melengkapkan kekurangan pada diri ini,” lembut saja dia bersuara. Jari jemarinya yang berinai itu ditenungnya.
Tidak sanggup sebenarnya mahu bertentang mata dengan si  suami. Akif Irham tersenyum, kata-kata itu bagaikan embun pagi yang menitis, sejuk dan damai menyirami hatinya. Terasa sejuk dan mendamaikan.

                “Sayang… kita bina rumahtangga ini mengikut acuan kita sendiri. Abang juga tidak sempurna, jadi sayang adalah pelengkapnya. Thanks sayang kerana terima abang seadanya..abang sayangkan Nuha, sayang sangat-sangat,” pipi mulus sang isteri diusap lembut, sesekali bibirnya mengucup pipi itu menyebabkan  isterinya  kegelian. Kepala Nuha Qalisya melentuk di bahu Akif Irham. Sungguh, dia begitu selesa berada dalam dakapan lelaki yang baru beberapa jam sah menjadi suaminya.
“I love you too abang. Nuha bertuah sangat jadi isteri abang,” katanya dengan nada manja dan menggoda.Teringat dia aksi manja-manja kucing yang sering dipamerkan Amylia setiap kali menggoda Akif Irham. Waktu itu kerap dia sesak nafas melihat aksi gedik Amylia. Walau apa yang dilakukan Amylia cinta Akif Irham tetap utuh padanya.

                   Buktinya, hari ini mereka sah bergelar suami isteri. Fitnah Amylia akhirnya memakan diri sendiri. Bukan saja dia yang malu tetapi tempiasnya turut dirasai kedua orang tuanya. Kerana malu, gadis itu kini sudah seminggu terbang ke UK. Hanya dia yang tahu kenapa Amylia secara tiba-tiba mengambil keputusan untuk ke sana. Dia hanya mampu berdoa agar Amylia berubah dan kembali ke Malaysia suatu hari nanti.
“Kasihan Amy,” Entah kenapa dia teringat kepada gadis itu. Bulat mata Akif Irham mendengar kata-kata isterinya. Biar betul! Selepas apa yang dilakukan Amylia terhadap hubungan mereka, masih lagi wujud rasa kasihan dihati isterinya.
                   
               “Isteri abang ni tak ingat ke apa yang dia lakukan dulu.. pada sayang, pada perhubungan kita. Tak ingat? Kerana fitnah dia, hubungan kita jadi berantakan.Tali pertunangan kita hampir putus. Kalau tak ingat, abang boleh ingatkan sayang, bagaimana menderitanya abang apabila setiap kata-kata abang sayang langsung tak percaya. Sayang lebih percayakan perempuan tu,” suara Akif Irham agak keras apabila ia berkaitan Amylia. Nuha Qalisya terdiam. Pantas tangan Akif Irham dikucup lama.Matanya berkaca.
“Nuha minta maaf, tak sepatutnya Nuha meragui abang, meragui cinta kita tetapi waktu itu Nuha langsung tak boleh berfikir.Bukti terhidang di depan mata. Sesiapa saja yang ditempat Nuha akan berfikir seperti Nuha fikirkan,” dia membela dia.
                     
                   Nuha Qalisya mengeluh memikirkan betapa mudahnya dia diperdaya oleh Amylia sedangkan dia tahu selama ini pelbagai cara dilakukan gadis itu untuk memerangkap suaminya. Namun, kuasa Allah mengatasi segalanya, kebenaran terbukti dan kini dia dan Akif Irham bersatu juga.
Tangannya masih melingkar dibahu Akif Irham. Sukar untuk dia gambarkan  perasaannya kala ini. Bahagia, gembira. Rangkulan sang suami tiba-tiba dilepaskan, kalau boleh dia mahu terus berada dalam pelukan Akif Irham tetapi tuntutan sebagai umat Islam perlu didahulukan apatah lagi jam di dinding sudah menunjukkan angka 6 petang.

                   Dia berlalu ke almari pakaian dihujung katilnya mengambil tuala bersih untuk diberikan kepada Akif Irham. Tanpa berkata-kata, pantas saja lelaki itu berlalu ke bilik air, membersihkan diri.
Seharian mereka dijadikan pameran untuk tontonanpengunjung. Usikan dan siulan adik-adik dan pasangan bertunang Zakry Adlan dan Siti Maryam membuatkan pipinya kerap kali bertukar warna.
Begitu juga Edora dan Afifa yang tidak habis-habis mengusik dia dan Akif Irham. Di arah buat itu buat ini, penat, letih usah dikata tetapi dia akui itulah kenangan terindah dalam hidupnya. Nuha Qalisya tersenyum mengingati saat bahagia itu.

                 Sejam kemudian pasangan pengantin baru menunaikan solat Asar dan buat pertama kali Akif Irham menjadi imam kepada seorang isteri bernama Nuha Qalisya. Panjang doa si imam selepas menunaikan solat.
Memohon kepada Allah Taala supaya memberkati kehidupan baru mereka, dikurniakan anak-anak yang sihat, comel dan solih serta memanjangkan usia mereka, usia ibu bapa dan keluarga kedua-dua pihak selain melimpahkan rezeki mereka sekeluarga.