PROLOG

Anak dara tua, atau perkataan lebih sedap didengar sikit, andartu. Istilah itu sinonim dengan wanita yang belum berkahwin, macam dia ni. Tapi salahkah dia jika sampai sekarang dia masih belum menamatkan zaman gadisnya.
Adakah salah dia juga jika sampai sekarang tiada lelaki yang mahu meminangnya.Sungguh tidak adil dunia ini. Tidak betul ke apa yang dia perkatakan itu. Lelaki hanya mahukan yang muda remaja, jelita, solid molid tetapi dia sudah melangkau angka 36 tahun.
Biarlah dia perkenalkan dirinya dulu.Namanya Airis Ilmani binti Datuk Hassani, panggil saja Airis. Rasa lebih cun kot… bekerja sebagai wartawan akhbar dan pastinya kerjaya itu  menuntut dia memberi komitmen sepenuhnya.
Mungkin juga sebab itu dia sampai sekarang belum berkahwin lagi.Hish.. Airis ada pula macam tu..dah macam mama pun ada.
Dia belum berkahwin sebab belum sampai jodoh dia lagi bukan disebabkan kerjaya yang dipilihnya.Adik-adik sudah kahwin disebabkan kerana jodoh mereka sudah sampai.Tetapi itulah… mama kerap menyalahkan kerjaya yang dia pilih.
Eh mama namanya  Datin Umi Kathom, macam nama pelakon dulu-dulu tu. Mama cantik? Memanglah, kalau tak takkan waliq jatuh cinta.Waliq?Waliq orangnya sederhana tetapi kerap menyebelahi dirinya setiap kali mama berleter.
Berbalik pada mama… kata mama kerana kerjaya yang dia pilih inilah sampai sekarang dia belum berkahwin lagi. Salah lagi ke dia sebab bergelar  wartawan?Itu persoalan yang membelenggu dirinya kebelakangan ini.
Kalau dia tersalah pilih kerjaya mengapa ramai saja rakan sealiran dan sekerjanya menamatkan zaman bujang mereka. Nadia, Wanda, Sofea, dia hanya mengambil contoh beberapa rakannya  seangkatan dengan usianya yang sudah menamatkan zaman gadis mereka.
Jadi tidak sepatutnya mama menyalahkan kerjayanya.Sepatutnya mama jadi backup pada dirinya apabila kerap disindir sanak saudara. Ni tak, mama sama naik mahu mengenakan dirinya.
Nasib baik, walid sporting orangnya.Walaupun sampai sekarang jodohnya belum sampai, waliq tidak pernah melatah.Malah prinsip hidup waliqnya membuatkan dia begitu menghormati waliq.
“Jodoh anak waliq belum sampai lagi. Kenapa Airis kalut sangat ni. Sepatutnya Airis berdoa kepada Allah supaya menemukan jodoh Airis tu. Jodoh ni bila dah sampai, dia datang sepantas kilat,” nasib baik waliq tak seperti mama.
Waliq masih berpegang kepada prinsip kalau ada jodoh tidak ke mana.Kalau sudah sampai jodohnya, tidak akan ke mana. Allah akan gerakkan hatinya dan hati si dia untuk bersatu.