Prolog
Majlis perkahwinan baru saja selesai. Termenung dia di birai katil memikirkan kisah masa depannya. Lelaki yang baru sah bergelar suami menghampirinya. Duduk bercangkung didepannya. 
“Abang mohon maaf atas semua kesalahan abang selama ini. Abang mengambil setiap kesalahan abang itu sebagai hukuman untuk abang,” Dia diam. Mahu memandang wajah itu pun dia tidak sudi apatah lagi mahu mengiktiraf lelaki itu sebagai suami.
“Awak ingat senang-senang untuk saya maafkan awak? Lima tahun saya membenci diri sendiri. Jijik dengan tubuh sendiri. Walaupun dicuci dan dibilas dengan berbaldi-baldi air belum tentu mampu menghilangkan kekotoran itu,”
“Abang tahu... sebab itu abang mencari sayang untuk bertanggungjawab. Abang tahu sayang bencikan abang. Abang tak kisah. Abang reda,” suaminya masih lagi  bercangkung didepannya. Berusaha memegang tangannya tetapi cepat saja ditepis.
Tak sudi dia jari jemarinya itu sentuh oleh lelaki. Jijik. Itulah yang dia rasakan. Cepat saja tangannya itu dikesat pada baju yang dipakainya. Berubah wajah suaminya. Dia buat-buat tidak nampak suaminya mengesat kelopak matanya.
“Sayang boleh ambil selama mana pun waktu yang sayang mahukan. Abang sanggup menunggu kerana abang tahu setiap kesalahan itu datangnya daripada pihak abang,”lelaki itu mengalir air mata.
Agaknya sudah insaf dengan apa yang dilakukan kepadanya  lima tahun lalu. Dia mencebik. Insaflah sangat. Entah-entah sengaja mahu memancing rasa simpati dirinya. Dia menjeling.
“Abang akan belajar menjadi suami yang setia. Suami penyabar untuk isteri abang ini. Pergilah tukar baju dulu. Nanti kita berjemaah bersama-sama,” si suami bersuara. Biarpun dia tahu dia tidak akan mendapat reaksi apa-apa.
Dia kini sedang dihukum dan sebagai pesalah dia perlu jalani hukuman itu dengan rela hati.
Lambat-lambat lelaki itu melangkah ke muka pintu. Beberapa minit kemudian terdengar deruman air membasahi simen.
Dia mengeluh.Dia berbaring di katil pengantin yang dihias indah. Kalau orang lain saat inilah yang paling membahagikan diri tetapi tidak dirinya.Bermulalah perjalanan hidup seorang yang bernama Raisya Hannah Abdul Halim.