BAB 28

Selesai menikmati dinner mereka melepak di tepi laut. Suasana malam yang damai membuai jiwa Airis. Dia dan Anita duduk berdekatan manakala Khaled Zidan dan Dahlia duduk agak jauh daripada mereka.
Anita mengerling  kearah Airis. Kawannya itu buat muka bodoh. Sejak makan tadi mereka tidak banyak bercakap. Hanya Dahlia saja yang bercerita tentang kisahnya dulu-dulu bersama Khaled Zidan. Hanya sesekali lelaki itu menjawab apabila ditanya.
“Kau tak sakit hati ke?”akhirnya pertanyaan itu keluar juga dari bibirnya.Pengunjung yang ramai di situ langsung tidak dihiraukan mereka. Ada yang melepak bersama keluarga, rakan-rakan tidak kurang juga bersama pasangan. Masing-masing membuat hal sendiri.
“Kenapa aku perlu sakit hati?” dia pula bertanya. Ada beberapa pengunjung yang membentangkan tikar. Lebih selesa agaknya duduk bersila daripada duduk di kerusi batu yang disediakan.
“Eh kau ni...lelaki yang duduk dengan Dahlia tu boss aku tetapi lebih kepada kekasih kau. Takkan kau tak rasa apa-apa kot bila melihat kemesraan mereka?” Anita pula bertanya. Lengan teman dicubit. Mulutnya dimuncungkan kearah pasangan itu.
“Kau nak aku buat apa?” soal Airis. Sedikit kuat suaranya.
Anita mendengus. Dia pandang temannya itu. Apahal Airis malam ni pasif semacam saja. Buat-buat gadis suci yang tak tahu apa-apa.  Hak sendiri mahu dirampas pun masih buat muka selamba badak.
“Pertahankan hak kau. Khaled Zidan milik kau kenapa kau senangpsenang nak lepaskan dia kepada orang lain?” soalnya.
Airis mengeluh. Boleh pula Anita berfikiran begitu. Dia ingat Khaled Zidan tu barang ke? Tak ada perasaan.
“Aku nak kau pergi sana. Duduk dekat boss aku tu. Dengar apa mereka bersembang. Si Zidan ni pun bangang, kenapalah tak datang duduk sini. Ikut sangat  cakap si Dahlia tu yang mahu ambil angin di sana,”
Airis tersengih. Kali pertama dia dengar Anita membangangkan bossnya sendiri. Kalau tidak tu memanjang si teman memuji Khaled Zidan. Boss aku bagus, boss aku bijak, boss aku handsome...semuanya boss aku.
“Apasal kau pandang aku macamtu?” Anita baru perasan Airis merenungnya sambil tersengih-sengih.
“Saja je. Tapi kan,”dia pelip-pelip matanya. Ada juga yang mahu ditampar ni, dengus Anita.
“Tadi kata saja-saja, lepas tu ada tapinya pula. Hah apa tapi kau tu,” Anita sudah muncung bibirnya. Tahu sangat dia apa yang bersarang dalam kotak fikiran temannya itu. Walaupun mereka baru berkawan rapat tetapi hubungan mereka cepat akrab.
“Kau jarang bengongkan boss kau tu..tapi malam ni aku dengar sesuatu yang tak sepatutnya keluar dari mulut kau. Kau lupa ke yang kau bengongkan tu boss kau sendiri. Orang yang sentiasa kau menangkan,”
Tak sangka pula dia malam ini dia boleh mendengar kata-kata itu terkeluar dari mulut Anita. Mahu guling-guling atas pasir pun ada juga.
“Lepas ni aku boleh masuk  dalam diari. Tak pun masuk dalam Hari Ini Dalam Sejarah,” Airis berjenaka.  Makin muncung bibir Anita. Hampeh punya kawan, nak kutuk pun sikit-sikit dahlah.
“Kali ini dia memang bengong… aku takkan menyokong dia hanya semata-mata kerana dia boss aku. Salah tetap salah. Dia dah buat kau macam ni, takkan aku nak diamkan saja,”
“Tapi kan, boss aku tu  baik orangnya tapi tulah, dia jadi serba salah agaknya bila terjumpa adik sepupunya di sini,” baru tadi kata tidak menyokong lelaki itu. Tak sampai dua minit pendirian gadis itu berubah.
Aik lain macam pula cakap Anita. Desis Airis. Anita..Anita, tak tetap pendirian betul budak ni. Baru tadi berapi-api dia marahkan Khaled Zidam kerana melebihkan Dahlia tapi sekarang dia juga yang memuji kebaikan  bossnya itu.
“Tapi aku tak faham lagi pasal kekasih kontrak tu. Jadi selama ini kau bukan betul-betul bercinta dengan boss aku ke?” soalnya. Sejak dari petang tadi lagi dia mahu bertanya tetapi bimbang dibambu oleh Airis.
“Kau ingat tak pasal saman syarikat aku tu?” dia bertanya.
“Mmm..apa kaitan pula?”
“Semuanya bermula dari situlah. Syarikat aku kena saman sebab story pasal boss kau yang aku buat tu. Aku tulis dalam artikel tu pasal dia dikelilingi wanita cantik. Bahasa halusnya dia ni kaki perempuanlah,”
“Oooo.. lepas tu?” soalnya berminat. Dia langsung tidak diberitahu mengenai  saman menyaman itu. Patutlah selepas itu Airis bagaikan melekat dengan bossnya itu. Rupa-rupanya ada kisah disebaliknya.
“Boss kau tu tak puas hati. Dia nak saman syarikat aku kecuali aku jadi kekasih sementara dia selama tiga bulan. Dia sanggup batalkan saman itu jika aku bersetuju,” dia lihat Anita termenung.
“Habis tu sekarang dah berapa bulan?” soalnya. Kalau diikutkan interview dulu sudah agak lama juga.
“Seminggu lagi cukup tiga bulan, lepas tu aku bebas dan dia tidak boleh ganggu aku lagi. Kami akan bawa haluan masing-masing. Dia dengan kehidupan dia dan aku pula tentulah kembali kepada asal,”
“Kau tak kisah?”
“Apa pula aku nak kisahnya. Dah perjanjian macam tu,” dia cuba menyembunyikan rasa hatinya walaupun dia tahu ada nada sayu di situ.
“Kau tak sayang hubungan tiga bulan kau tu?” dia masih tidak berpuas hati. Mahu mengorek apa yang bersarang dalam hati wanita itu. Kalau dia lihat sepanjang tiga bulan ini Khaled Zidan memang serius untuk menjadikan Airis teman wanitanya.
“Kau tak rasa  ke boss aku tu serius dalam percintaan kau orang berdua. Aku tahu   dia serius. Setiap hari aku ada bersamanya di office. Aku jadi pemerhati.  Dia seperti orang hilang anak setiap kali gagal menghubungi kau. Aku nampak semua tu,”
Airis mengeluh. Dia pandang wajah Anita. Mahu saja dia bertanya lebih lanjut tetapi akhirnya dia mengambil keputusan untuk berdiam diri. Lebih baik begitu kerana semuanya sudah berakhir.
“Jom kita ke sana...aku dah tak sanggup tengok perempuan tu duk menggedik kat laki kau tu. Kau aku tahulah, hati stone. Bukannya kau ada hati dan perasaan pun. Aku yang tengok ni sudah sakit hati. Terbakar jiwa aku ni”
“Laki? Kalau dah jadi laki aku dah selamat si Lia tu aku ganyang tapi masalahnya yang kau kata laki aku tu belum tentu jadi laki aku. Jadi buat apa aku nak sakit hati dengan benda yang belum pasti lagi,” Anita mencebek.
Banyaklah tak pasti lagi. Bukan ke tadi dia dimaklumkan ada sesi lamar melamar berlaku di lobi hotel.
“Hati kau berbelah bagi lagi ke?” dia menyoal.
“Apa maksud kau?” dia bertanya.
“Iyalah… pasal lamaran boss aku tu. Kau nak terima ke?” soal Anita. Dia pandang Anita. Macamana gadis itu boleh tahu tentang lamaran Khaled Zidan.
“Macamana kau tahu?” soalnya.
“Boss aku,”Maksud boss aku tu mestilah Khaled Zidan kan. Takkan pula Datuk Seri Shariman, boss besar Kenchana Holdings pulak.
“Khaled Zidan?”  dia bertanya juga. Walaupun sebenarnya sudah tahu siapa yang dimaksudkan Anita tadi tapi  manalah tahu kot-kot Kenchana Holdings ada lagi boss lain selain mamat poyo tu.
“Siapa lagi boss aku…tentulah dia kan,” ulas Anita.

“Apa yang dia cerita pasal lamaran?” dia ingin tahu apa yang diceritakan Khaled Zidan kepada Anita.
“Malam nanti aku cerita. Sekarang ni aku nak kau pergi ke tempat boss aku tu. Eh mana pula mereka ni? Tadi ada je duduk bersembang di situ,” dia berpusing ke kiri dan kanan mencari kelibat Khaled Zidan dan Dahlia.
“Tu kat sana…” Airis menjawab. Tempat lelaki itu duduk dia pandang sekilas.
“Jom kita pergi ke tempat mereka,” Anita menarik tangannya.
“Biarlah mereka. Tak perlulah kita ganggu dia orang,” Anita yang mahu melangkah ke sana tidak jadi berbuat demikian. Dia kembali duduk di kerusi batu yang disediakan di tepi pantai.
“Sayu pulak aku dengar,” ulasnya.
“Apa hal nak sayu-sayu ni. Aku okeylah,” balas Airis. Mulut kata okey tetapi nada suaranya makin perlahan. Bergetar! Orang putus cinta macam ni ke rasanya? Dia pegang dadanya. Rasa terluka.
Khaled Zidan menghampiri tempat duduk Airis dan Anita. Entah apa yang disembangkan mereka berdua. Dia dapat merasakan perbualan serius sedang berlangsung. Dibelakangnya Dahlia setia mengekori.
“Abang Iddan tunggulah Lia…” dia hulurkan tangannya namun langsung tidak disambutnya. Manja suara itu kedengaran di telinga Airis. Ya Allah, hatinya sebak. Bila-bila masa saja air matanya akan menitis. Dia tarik nafas dan kemudian menghembusnya kembali.
“Lia seorang je ke datang ke sini?” Anita bertanya. Dahlia yang baru berlabuh disisi Khaled Zidan memandang Anita. Dia juga ingin bertanyakan soalan yang sama tetapi akhirnya dia membiarkan saja.
“Taklah…dengan member-member. Kami datang bercuti beramai-ramai. Tak sangka pula Lia boleh jumpa Abang Iddan di sini,” dia mengerling kearah abang sepupunya itu yang tidak banyak cakap.Sepatah dia tanya, sepatah juga dijawabnya.
“Ooo… habis dia orang ke mana sekarang?” Airis pandang Anita. Tidak berapa gemar gadis itu asyik bertanya itu dan ini kepada Dahlia. Biar sajalah tak perlu ditanya. Bukan urusan mereka pun.
“Mmm.. kami menginap hotel yang sama juga. Tetapi bila dah jumpa Abang Iddan, Lia beritahu dia orang Lia tak akan ikut program yang sudah diatur. Lia nak bercuti dengan Abang Iddan,”
Dia juga tak menyangka berjumpa dengan Khaled Zidan petang tadi. Baru dua hari lepas dia berkunjung ke rumah sepupunya itu, tak ada pula ibu saudaranya bercerita Khaled Zidan mahu bercuti ke Kuala Terengganu.
Kalau dia tahu dia tak membuat program bersama rakan-rakannya. Lebih baik dia bercuti berdua dengan Khaled Zidan saja.
Anita mencebek, ada pula macam tu. Datang ramai-ramai tetapi  bawa haluan sendiri selepas berjumpa abang sepupunya. Nampak macam  kebudak-budakan si Dahlia ni.
Dia pandang Khaled Zidan. Lelaki ini pun satu, tak reti langsung nak mengata tidak. Bimbang sangat nak melukakan hati Dahlia. Hati Airis boleh pula dia buat tidak kisah macam tu.
“Kebetulan pula ye berjumpa kami di sini. Esok nak ke mana pula?” soal Anita. Dia beri jelingan maut kepada Khaled Zidan. Dalam hatinya tak sudah-sudah berdoa agar gadis itu tidak mengikuti program mereka ke Pulau Redang, esoknya.
“Ikut Abang Iddanlah. Lia dah beritahu tadi. Harap kakak-kakak berdua tiada masalah Lia ikut sama,” Anita sudah mahu hantuk kepalanya di kerusi batu yang didudukinya. Jangankan Khaled Zidan mahu melarang Dahlia mengikut mereka, bercakap pun tidak.
“Eh boleh pula macam tu… kawan-kawan Lia tak bising ke Lia tak nak joint mereka di sini. Dari Kuala Lumpur mestilah sudah ada planning nak pergi tempat-tempat menarik di sini,” Anita memprotes dalam lembut.
“Taklah… dia orang kata okey saja. Lagi pun dia orang tahu Lia bersama dengan bakal tunang Lia,” dada Airis bagaikan mahu pecah mendengar kata-kata itu. Sedar diri Airis…sedar diri kau.
Kau dengan Khaled Zidan tidak layak untuk bercinta. Sepatutnya kau pagar hati kau dengan kawat duri biar tiada orang bisa menembusinya. Kau lihat saja usia kau. Dia sebaya dengan Edy. Kau boleh dianggap kakak dan dia adik kau. Akhirnya kau juga yang kecewa.
Dia pandang kearah lain. Airmata jangan keluar..jangan dia tidak mahu Anita melihatnya.
“Bolehkan Lia ikut abang esok?” dia bertanya.  Dia pandang Anita, kemudian beralih kepda Airis. Entah mengapa, dia dapat rasakan wanita bernama Airis ini ada hubungan istimewa dengan abang sepupunya.
Nampak sungguh wajah serba salah Khaled Zidan. Dia pandang Airis tetapi gadis itu langsung tidak beraksi. Asyik merenung kearah laut.Sesekali tangan gadis itu ligat menaip sesuatu pada Samsung Meganya.
Anita langsung tidak boleh diguna pakai awal-awal lagi memberi amaran kepadanya jangan cuba bermain api kalau mahu hubungannya dengan Airis bertahan lebih lama. Dia renung Dahlia..hish susah macam ni. Adik sepupunya langsung tidak mahu mengalah.
 “Lia boleh ikut kan. Alaaa.. Lia rindulah saat-saat kita pergi bercuti sekeluarga dulu. Lia, Abang Iddan, Mak Ngah, Pak Ngah dan adik beradik abang yang lain. Rindunyaaaaa….” Dia buat-buat suara ala manja.
Nak muntah Anita mendengarnya. Ya Allah, kenapalah boss dia ada adik sepupu yang jenis macam ni. Nampak sungguh bersopan santun tetapi apabila diteliti ia begitu menjengkelkan dirinya.
“Mmmm… you…bolehkan adik sepupu I ikut kita ke Pulau Redang esok?” tanyanya kepada Airis. Akhirnya terkeluar juga kata-kata itu daripada mulut Khaled Zidan.
“You..” panggilnya lagi. Airis yang mengelamun sedikit terkejut.
“Hah..ap..apa tadi?” dia bertanya. Nampak sangat yang Airis langsung tidak memberi tumpuan kepada perbincangan mereka, desis Anita. Bagus juga, tak adalah temannya itu makan hati mendengar suara gedik Dahlia tadi.
“Boleh tak adik sepupu I nak ikut esok?”
“Mmm..bolehlah kot. I tak kisah, cuba tanya Nita,”Anita buat muka. Apa pula tanya dia? Semua mata bertumpu kepadanya.
“Bolehlah kot. Lagi pun awal-awal dulu  hanya kami berdua yang mahu ke sana. Tapi boss nak ikut, saya pun okey sajalah. Sekarang ni nak tambah lagi seorang saya tak ada masalah juga. Mungkin lagi ramai lagi meriah kot,” kata Anita. Lebih kepada memerli sebenarnya. Itu pun kalau Khaled Zidan memahaminya.
“Nita jom kita balik,” Airis sudah bangun.
“Nak balik dengan apa kita bukannya bawa kereta pun. Boss kami dah nak balik. Silalah hantar kami ke hotel dulu dan lepas ni kalau boss nak ke mana-mana kami tak halang pun,” lagi sekali dia memerli.
Khaled Zidan tarik nafas. Susah..susah! Anita seakan mahu memboikot dirinya. Perli tak sudah-sudah. Airis? Sejak petang tadi susah benar mahu mendengar suaranya keluar. Kalau ada pun, mmm..huh…hah.
“Awal lagi ni. Kita duduk sini dulu. Ambil angin. Khaled Zidan berkata. Angin sejuk dari pantai membuatkan dia sedikit kedinginan. Di kota raya mana mungkin dia dapat mengecapinya.
“Taknaklah. I dah penat. Esok nak gerak awal kan,” sedikit tingi nada suaranya.
“Mmm…okeylah. Jom Lia kita balik. Esok kita nak gerak awal ke Pulau Redang,” dia turut bangun.
“Alaaa.. tunggu dululah Abang Iddan..baru pukul 11 malam. Kita lepak sini dulu. Kalau kakak-kakak ni nak balik biarlah mereka balik dulu,” dia merengek.
“Lia nak duduk sini sampai pagi pun akak tak kisah. Tapi akak dan Kak Nita ni nak balik hotel. Kalau akak ada kereta, akak tak susah-susahkan abang sepupu Lia ni hantarkan. Kami boleh balik sendiri,” nah terkeluar juga kata-kata sinis dari mulut Airis. Kan dah kena, sejak tadi asyik merengek-rengek macam budak kecil.
Khaled Zidan pandang muka Airis. Apa yang keluar dari bibir gadis itu sekarang makin berapi. Berasap saja dipendengarannya.
“Apahal you berangin semacam je ni. Lia cakap lembut-lembut tapi you  pula yang bercakap sinis dengan dia. You nak marahkan I, marah I sajalah. Tak payahlah nak babitkan Lia pula. Lia tak salah pun,”
Airis diam. Sudah diduganya itu yang terkeluar dari mulut Khaled Zidan. Dia pandang wajah Anita.
“Tak apalah. I boleh balik sendiri. Mmm.. jom Nita,” dia bangun dan berlalu dari situ. Belum jauh dia bergerak namanya dipanggil. Anita tersenyum. Penyelamat sudah datang. Kali ini tepat pada masanya.
“Marwan… I ingat you dah gerak ke pulau,” nyaring suara Anita menegur Marwan. Lelaki itu tersengih. Tidak disangka juga hasrat mahu menikmati steamboat di situ menemukan dia dengan gadis itu.
“Tak jadi. Ingatkan nak gerak terus tapi si Rizal  nak bermalam di sini dulu,” dia memberitahu.
“Ooo..mana member you tu?” dia bertanya. Berpusing ke kiri dan kanan mencari kelibat lelaki bernama Rizal.
“Ada tu.. kat kaunter sedang membayar. You nak ke mana ni?” dia pandang Anita dan kemudian kearah Airis. Itu pun nama gadis itu ketahui daripada Rizal.
“Nak balik hotel,” dia melepaskan pandangan kearah Khaled Zidan yang sudah berubah tone wajahnya. Tak jauh pun kedudukan mereka, jadi dia boleh nampak raut wajah lelaki itu sudah bertukar.
Padan muka! Baru kau tahu, sekarang ni kau sudah ada pesaing dan selepas ini dia tidak akan menghalang kalau ada lelaki yang mahu mendekati Airis. Dia mahu lihat bagaimana lelaki itu membaiki balik hubungannya dengan Airis.
“Eh kau orang. Tak sangka boleh jumpa di sini,” Rizal agak terkejut melihat gadis  yang ditemui dalam pesawat pagi tadi ada di situ. Lebih dia teruja apabila Airis juga turut  berada di restoran itu.
“Nak ke mana ni?” Rizal bertanya.
“Nak balik ke hotel,” Anita membalas. Airis turut mengangguk. Mengiyakan kata-kata si teman tadi.
“Jomlah.. I hantarkan. Kami pun dah siap makan ni,” dia berpaling kearah teman-temannya.
“Aku hantar cik-cik ni balik hotel dulu. Lepas tu aku datang balik,” ujar Rizal.
“Tak apa.. tak apa… kami boleh balik sendiri,” cepat saja Airis menyampuk. Takkan mahu menyusahkan orang pulak. Memang sah-sahlah mereka datang berempat. Satu kereta takkan nak datang semula ke tempat ini.
“Apa pulak susahnya. I memang nak hantar you all. Dia orang boleh tunggu kat sini. Lagi pun mereka ni nak melepak di sini dulu,” dia pandang rakan-rakannya dan kemudian beralihkepada Airis.
Belum sempat Airis mahu menjawab, tangannya ditarik dari belakang. Nasib baik dia tidak bersembam jatuh. Khaled Zidan memaut tubuhnya. Masing-masing terkaku, sebelum Airis bertindak merenggangkan tubuhnya.
“I hantar dia balik, dia datang dengan I dan balik pun dengan I,” tangan Airis digenggam erat. Jangan harap nak biarlah gadis itu balik dengan Rizal. Sejak dari tadi lagi hatinya sakit dan makin membara apabila melihat kemunculan Rizal.
“Ikut I,” dia tarik tangan Airis. Dahlia melopong melihat tindakan Khaled Zidan.Berubah mukanya. Anita tersengih. Dia tahu fenomena itu amat luar biasa bagi gadis itu tetapi tidak kepadanya.
Kerap juga dia dihidangkan situasi itu. Bermain tarik tali antara mereka.
“Err..” Airis cuba membantah tetapi dia terdiam apabila melihat jelingan Khaled Zidan. Jangan tempeh bala Airis Ilmani oiiii . Tengok muka lelaki itu pun dia dah tahu tahap kemarahan Khaled Zidan.
“Jangan harap you boleh balik dengan lelaki tu,” bisiknya ditelinga Airis.
“Lepaslah tangan I dulu sakit tau,” berkerut wajah Airis.
“Sorry..sorry..”cepat saja pergelangan tangan Airis dilepas.
“Sakit sangat ke?” soalnya prihatin.
“You ingat you usap atau belai ke tangan I tadi tu? You genggam kuat tau. Mahu tak sakit. Ni tengok dah nak biru. Kejap lagi jadi lebam ni,” dia tunjuk tangannya. Tangan Airis dicapai semula.
Memang sah, ada kesan merah. Mungkin kekuatan cengkaman jari jemarinya tadi. Dia usap tangan Airis. Bulat mata Airis. Hish, sempat lagi mamat lanun darat ni buat perangai gatal dia.
“Dahlah.. I dah mengantuk ni,” dia melangkah meninggalkan Khaled Zidan. Anita mengekori langkahnya dan diikuti Dahlia dan Khaled Zidan. Cukuplah dia mencipta drama queen malam ini, desis Airis.