BAB 6

“Satu-satu saya sayang mama… dua-dua saya sayang papa, tiga tiga saya sayang adik kakak satu dua tiga saya sayang semuanya,” kedengaran Iman Raykal mengalunkan lagu yang begitu popular di zaman kecilnya. Entah bila anak bujangnya itu muncul dan duduk disebelahnya.
“Mama best tak Iman nyanyi lagu tu?” soal Iman Raykal tanpa memandang kearahnya. Tangan anak kecil itu ligat menconteng sesuatu di kertas lukisannya. Dia cuba melihat apa yang dilukis anaknya tetapi cepat saja Iman Raykal menutup dengan tangannya.
“Anak mama lukis apa tu?” Nur Indah bertanya.
“Best tak Iman nyanyi?” dia tidak menjawab pertanyaan Nur Indah sebaliknya dia pula mengutarakan pertanyaan. Nur Indah menggosok kepala anaknya. Iman Raykal dimasukkan ke Smart Readers Kids sejak usia empat tahun.
            “Tadi kat school cikgu Misha ajar Iman menyanyi. Dengar ek mama..Iman nyanyi.Satu-satu Iman sayang mama..dua dua Iman sayang papa…” tiba-tiba  nyanyian dia terhenti. Iman Raykal pandang wajah Nur Indah.
“Kenapa sayang?” soal Nur Indah hairan. Wajah anak bujang yang lebih mirip kepada muka Harris Danial itu direnung penuh sayang. Dalam usia 23 tahun, dia sudah mempunyai anak bujang.
Ramai yang tidak percaya apabila diberitahu dia sudah mempunyai anak yang berusia lima tahun. Tetapi itulah hakikatnya, dalam usia 18 tahun dia menamatkan zaman gadisnya dan sebulan kemudian dia disahkan hamil.
“Mama, mana papa Iman?”Nur Indah tarik nafas. Iman Raykal   setia menunggu jawapan daripada mamanya.
“Mana papa Iman?” ulangnya lagi. Seperti tadi Nur Indah masih berdiam diri. Dia tiada jawapan untuk soalan anak kecilnya itu.
‘Abang Fir balik cepat, Indah tiada jawapan untuk soalan yang ditanya Iman.Anak Indah semakin besar, dia makin banyak bertanya. Iman tak tahu nak jawab apa’ rintih Nur Indah. Dia tidak mengendahkan pertanyaan anaknya.
Puzzle Iman Raykal yang bersepah di karpet disusun dan dimasukkan dalam kotak mainan. Gara-gara pertanyaan anak kecilnya kepalanya tiba-tiba saja berdenyut-denyut.
“Semua kawan Iman kat school ada papa. Iman saja tak ada. Iman sedih lah,” rupanya persoalan mengenai papa masih  belum berakhir. Dia seperti mahu menghantuk kepalanya di dinding atau setidak-tidaknya menjadi manusia pekak untuk seketika. Pekak dari mendengar soalan maut anak bujangnya itu.
“Iman sedih sangat..” dia ulang lagi kata-katanya. Mungkin dia beranggapan mamanya tidak mendengar kata-katanya sebentar tadi.Nur Indah tersengih. Wah kata-kata Iman Raykal makin canggih sekarang. 
Pandai pula sedih-sedih sekarang. Nak tergelak pun ada tetapi dia tahan saja apabila melihat wajah mendung Iman Raykal.
“Kenapa tiba-tiba saja anak mama ni tanya pasal papa?” soal Nur Indah. Anak kecil itu didudukkan berhampirannya.
“Ala mama ni… tadi Iman dah cakap.. siapa suruh mama tak dengar,” rungut Iman Raykal. Nur Indah tergelak. Anak bujangnya sekarang sudah pandai merungut bila tidak puas hati.
“Mama dengarlah sayang.. tapi yang mama tak faham kenapa anak mama sedih,” ujarnya. Kepala Iman Raykal diusap lembut.
“Yalah.. tadi masa kat school cikgu Misha ajar nyanyi. Lepas tu dia tanya kawan-kawan Iman, sayang  papa tak?.  Semua kawan-kawan Iman jawab sayang papa tapi Iman tak tahu nak jawab apa. Iman bukan ada papa” teringat dia tentang soalan yang diberikan cikgu Mishar pagi tadi.
“Habis apa jawapan Iman.?” Soalnya. Iman Raykal geleng kepala.
“Iman diam je. Iman mana ada papa,” si kecil itu bersuara jujur. Kata-kata itu bagaikan melumpuhkan seluruh anggota badannya. Nur Indah melepaskan keluhan. Betul kata uminya, Iman Raykal sudah besar dan dia akan sentiasa bertanya dan bertanya mengenai papanya.
“Sepatutnya Iman cakap sayang abah Fir. Kan Iman ada abah. Cukuplah la tu. Mana boleh Iman jadi tamak.Cukuplah sorang abah saja,” Nur Indah bersuara. Menutup pertanyaan daripada anak kecilnya itu.Dia melihat Iman Raykal mengangguk.
 Mungkin jawapan yang diberikannya sebentar tadi memuaskan hati si anak. Hari ini dia mampu menjawab persoalan anaknya tetapi esok lusa belum pasti si anak akan berpuas hati dengan jawapan yang diberikan itu.
“Tapi abah  bukan papa. Perlahan saja suara Iman Raykal. Mungkin dia bimbang mamanya akan memarahinya. Ya Allah… desis Nur Indah. Tadi  dia nampak si kecil bagai sudah boleh menerima jawapan yang diberikannya dan sekarang dia bertanya kembali.
Tapi itulah Iman Raykal..selagi jawapan yang diberikan itu tidak memuaskan hatinya selagi itulah dia akan terus bertanya. Degil betul anak kecilnya itu.
“Iman lukis apa tu?” Dia bertanya lagi. Cuba untuk memesong pemikiran si anak.Bimbang soalan di mana papa masih menjadi tajuk utama Iman Raykal.
“Nah mama tengok.Cantik tak lukisan Iman,” suara Iman Raykal sudah kembali ceria. Lukisan yang baru dilukis itu ditunjukkan pada Nur Indah. Dia mengakui Iman Raykal berbakat dalam bidang lukisan.
Apa yang dilukis anak kecilnya itu jarang tidak menjadi. Bukanlah perfect seperti pelukis professional tetapi jika diletakkan bersama kanak-kanak sebaya, lukisan Iman raykal jauh lebih cantik.Setiap hari ada saja lukisan yang dibawa balik ke rumah.
Jika diikutkan, dia langsung tidak pandai melukis.Di Sekolah dulu pun dia hanya pandai melukis orang lidi saja setiap kali diminta melukis oleh guru lukisannya.
Jadi, confirm bakat si kecilnya itu tidak diturunkan olehnya. Keluarganya juga tiada seorang pun yang boleh melukis. Itu dia pasti.
Mungkin juga bakat anaknya itu diwarisi daripada papa Iman Raykal. Harris Danial. Tetapi dia tidak pasti tentang itu kerana tidak banyak cerita yang diketahui mengenai lelaki itu yang pernah menjadi suami semalamannya.
Huh! Entah kenapa petang ini dia teringat kepada Harris Danial.Mungkin juga disebabkan anaknya itu yang sejak tadi asyik bertanyakan mengenai papanya membuatkan dia teringatkan ‘suami semalamnya’.
“Ini mama, sebelah mama... papa. Sebelah papa  Iman. Tapi Iman tak tahu wajah papa.Iman tak pernah tengok papa, macamana Iman nak lukis wajah papa,” rupa-rupanya persoalan mengenai papa masih lagi belum selesai.
Lukisan yang dilukis Iman Raykal dipandang. Memang benar wajah lelaki disebelahnya tidak dilukis.Muka lelaki yang dikatakan papa oleh Iman Raykal sebentar tadi dibiarkan kosong.
“Lukislah wajah abah Fir. Dia kan abah Iman,” beritahu Nur Indah. Susah betul mahu memahamkan si kecil itu tetapi jika dia berterus terang adakah anaknya itu mampu faham erti sebuah kehilangan.
Fahamkah si kecil ini jika diberitahu yang lelaki dipanggil papa itu langsung tidak mengetahui kewujudannya di dunia ini?
            “Mama penat sayang. Iman tak kasihan mama ke?Apa kata Iman pergi simpan dulu lukisan yang Iman lukis ni kat bilik. Bila atuk dengan nenek datang  rumah kita nanti bolehlah Iman tunjukkan  pada atuk. Bolehkan sayang?” lambat-lambat Iman Raykal menganggukkan kepalanya.
“Baiknya anak mama. Dia tahu mama dia baru saja pulang dari work.Mesti mama dia penatkan. Biasa kalau mama Iman penat apa yang Iman buat untuk mama?”Nur Indah bertanya.
Pantas anak kecilnya itu naik atas sofa dan memicit kepalanya. Kepalanya yang berdenyut sebentar tadi terasa hilang dengan picitan daripada si anak. Jari  jemari Iman Raykal masih lagi terasa didahinya.
Beberapa minit kemudian dia terlena dan hanya terjaga apabila mendengar pintu gril rumahnya dibuka.