SELEPAS LIMA TAHUN

BAB 5

“Umi, Indah dah nak gerak ni,” laung Nur Indah dari ruang tamu. Dia mencapai tangan Iman Raykal yang sejak tadi asyik berlari ke sana ke mari. Anak itu memang lasak dan aktif membuatkan dia seringkali tidak menang tangan.
“Dah nak balik ke? Baru saja umi nak bermesra dengan cucu umi ni,” Puan Zakiah yang baru saja selesai membasuh pinggan mangkuk di dapur menapak ke ruang tamu. Dia Dibelakangnya terkedek-kedek dua lagi cucunya, Aleya Husna dan Irfan Nabil mengekorinya dari belakang.
Selepas setahun kelahiran cucu sulungnya itu, Nur Zahraa melangsungkan perkahwinan dengan Badrul Hayat dan setahun kemudian lahir Aleya Husna dan setahun selepas itu lahir pula Irfan Nabil.
Puan Zakiah mencepung Iman Raykal yang leka bermain dengan sepupunya membuatkan cucu sulungnya itu berusaha untuk melepaskan diri. Rimas apabila dia diperlakukan begitu oleh neneknya.
Aleya Husna dan Irfan Nabil turut bergantung dikaki nenek mereka.Mencari perhatian sebenarnya.Tidak senang hanya Iman Raykal diberi perhatian oleh nenek mereka.
“Nenek nak turun… nak turun..tolong Una…Iffan.. tolong abang Iman” Iman Raykal sudah berdrama. Dia minta bantuan  kedua-dua sepupunya, anak Ibu Zahra dan ayah Badrul melepaskannya.
Kedua-dua cucunya itu ditinggalkan di rumah Puan Zakiah  pada waktu siang kerana anak keduanya itu bekerja. Nasib baiklah rumahnya tidak jauh dengan rumah Nur Zahraa. Kalau tidak, masak juga anak keduanya itu mahu mencari pengasuh.
            Firman yang kebetulan berada di ruang tamu hanya tergelak besar mendengar rayuan Iman Raykal. Nakal! Desis hati Firman. Anak saudaranya baru berusia lima tahun tetapi bijak akalnya usah dikata. Ada saja leluconnya yang membuatkan mereka sekeluarga tidak kering gusi.
“Meh dekat abah Fir… Sian dia..kena buli dengan nenek,” pantas saja Iman Raykal bergerak menghampiri Firman yang dipanggil Abah Fir itu. Dia turut menggamit dua anak saudaranya itu menghampirinya.
 Dengan merekalah Firman bermanja nak mengharapkan anak sendiri entah bila akan kesampaian. Kebetulan pula, Nur Zahraa tinggal tidak jauh dari rumah ibu bapanya.
“Iman dah nak balik Kuala Lumpur ke?” Firman buat-buat tanya. Dia mahu mendengar jawapan si kecil kerana setiap kali mahu pulang ke sana, dia dan Nur Indah  mengalami kesukaran kerana Iman Raykal akan menangis, enggan pulang.
“Tak bestlah rumah mama… umah nenek lagi best. Sini ada ada  Una.. ada Iffan. Iman nak main dengan mereka. Iman nak tinggal sini. Iman tak nak balik rumah mama,” beritahu Iman Raykal.
Sebenarnya lebih kepada protes terhadap mamanya.Dia pandang wajah sepupunya yang turut berebut untuk duduk atas riba abah Firman.
Kan dia sudah kata tadi! Iman Raykal sudah menunjukkan akal cerdiknya. Firman sudah tergelak-gelak apabila melihat Nur Indah memberi amaran supaya tidak dijolok sarang tebuan.
Encik Radzi yang baru pulang ke rumah turut mengambil bahagian menghangatkan lagi suasana di ruang tamu. Pakaian sudah berganti.Tiada lagi baju kot dan tali leher sebaliknya digantikan dengan t shirt pagoda dan kain pelikat.Itulah pakaian rasmi Encik Radzi ketika berada di rumah.
“Dah..dah.. jom kita gerak. Sudah petang ni. Jangan nak mengada-ngada. Mama cubit karang,” tangan Iman Raykal pantas dicapai. Namun si anak lebih pantas lagi, tubuh Firman sudah dipeluk erat. Langsung tidak mahu dilepaskan.Nampak gayanya Iman Raykal buat hal lagi.Keluh Nur Indah.
“Indah turun  dulu nanti abang bawa Iman ke kereta. Macam tak biasa pulak lihat fenomena macam ni. Indah dah lupa ke setiap kali kita nak balik Kuala Lumpur, inilah jadinya.Melalak dia tu macam kena dera,” Firman bergurau.
 Nur Indah angguk, mengiyakan kata-kata abang sulungnya itu. Itulah padahnya jika anak seorang itu terlalu dimanjakan oleh semua orang. Tangan Puan Zakiah dikucup.Kedua-dua belah pipi ibunya turut jadi sasaran kucupannya.
Kemudian dia beralih pula kepada Encik Radzi.Terasa menitik airmatanya bila ayahnya mengusap-ngusap  dan mengucup ubun-ubun kepalanya. Begitu banyak kesalahan yang dia lakukan.
“Indah balik dulu. Kalau ada kelapangan Indah balik lagi,” beg pakaian di capai. Puan Zakiah turut mengiringi si anak ke pintu utama.Husna dan Irfan turut berlumba-lumba menuju kepintu utama. Saling tolak menolak kedua-dua beradik itu.
“Sampai rumah nanti jangan lupa call umi. Solat jangan lupa.Walau sesibuk mana pun kita, solat jangan diabaikan,” Nur Indah angguk. Itulah pesanan yang diterimanya setiap kali dia mahu pulang ke rumahnya di Taman Bukit Anggerik,  Ampang. Sudah terakam kemas dimindanya.
Seketika kemudian dia bergerak ke Estima hitam miliknya. Bonet dibuka pantas saja beg pakaiannya dicampak. Dia turut melolos masuk ke ruang memandu. Sambil menunggu abangnya menghantar Iman Raykal, dia menyemak beberapa surat penting berkaitan dengan urusan perniagaannya.
Indah Laundry sudah beberapa  beroperasi berhampiran kediamannya di Taman Bukit Anggerik, Ampang. Walaupun mempunyai ijazah dalam bidang perkaunan dari UiTM Dungun,  namun minatnya lebih terarah pada bidang perniagaan.
Nasib baik  Puan Zakiah dan Encik Radzi tidak pernah menghalangnya apabila dia menyuarakan untuk memulakan perniagaan kedai dobi malah Firman tidak teragak-agak mengeluarkan modal untuk adiknya itu membuka kedai dobi sebaik saja menamatkan pengajiannya.  
“Dah boleh bergerak sekarang. Hero Malaya sudah tidur,” Firman merebahkan kusyen depan dan dengan berhati-hati dia meletakkan anak buahnya yang sudah lena itu.
“Masaklah Indah jika begini setiap kali balik kampung.Kalau tak menangis tak sah.Ikut perangai siapa entah,” perlahan saja suara Nur Indah.Firman tergelak mendengar omelan si adik.Wajah Nur Indah dipandang.
“Ikut perangai papa dia kot. Kita mana tahu kan, mungkin Harris kecil-kecil dulu macam anak buah abang ni. Lasak dan banyak akal,” Entah mengapa tiba-tiba mana Harris Danial meniti dibibirnya.
Dia tidak bermaksud untuk melukakan hati adiknya tetapi itulah juga yang terkeluar dari mulutnya sebentar tadi. Ditepuk mulutnya beberapa kali. Hish celupar pula dia hari ini, desis Firman.
Tetapi sampai bila adiknya itu tidak mahu menghadapi kenyataan kerana lambat laun Nur Indah terpaksa juga berdepan dengan Harris Danial. Iman Raykal makin membesar, pastinya dia mahu tahu siapa papanya dan siapa keluarga disebelah sana.
Nur Indah terkaku mendengar kata-kata Firman. Sudah lama dia tidak mendengar ahli keluarganya menyebut nama suaminya. Mungkin juga keluarganya tidak mahu dia terus berterusan mengingati Harris Danial.
Sorry Indah..abang tidak sengaja,” mulutnya ditampal lembut. Nur Indah angguk. Dia tahu selama ini ahli keluarganya terlalu berhati-hati bila bercakap dengannya.
“Abang Fir nak balik bila? Jangan lama-lama sangat sunyi kat rumah tu bila abang tak ada,” Nur Indah memesong percakapan, langsung tidak mengendahkan kata-kata abangnya itu.
 Dia malas mahu memikirkan perkara itu. Buat masa ini dia belum bersedia untuk bercerita kisah lalunya. Bagaimana dia dan Harris Danial boleh melakukan kerja gila itu sehingga Iman Raykal hadir dalam hidupnya.
Dia pandang wajah abang sulungnya. Firman yang baru saja mahu menutup pintu kereta tidak jadi berbuat demikian. Pintu Estima dibiarkan terbuka biarpun penghawa dingin kereta dipasang.
“Tengoklah dua tiga hari lagi. Cuti abang pun masih berbaki lagi ni. Nanti abang nak balik KL abang call Indah. Duduk baik-baik kat umah nanti.Kalau ada orang datang pastikan siapa orangnya dulu baru buka pintu.Kalau rasa tak kenal jangan dibuka. Nanti dua tiga hari abang balik,” Firman memberi nasihat kepada adik bongsunya itu.
Walaupun nampak luaran Nur Indah kuat tetapi hakikatnya Nur Indah tetap adik kecilnya. Si bongsu yang ditatang penuh kasih sayang oleh keluarga.
“Okey abang Fir..Indah beransur dulu.Nanti malam pula sampai kat rumah. Bimbang sampai kat KL malam  pula,” Firman mengangguk.
“Jaga hero Malaya abang ni,” kepala Iman Raykal diusap. Pantas kucupan singgah di dahi si kecil.Pintu kereta ditutup perlahan. Puan Zakiah yang berada disebelahnya sudah bergerak masuk ke dalam rumah.
Hanya dia yang masih di situ memerhati Estima milik adiknya itu beransur hilang. Sukar sebenarnya untuk dia melepaskan Nur Indah pulang ke ibu kota hanya bertemankan Iman Raykal.
Jarak perjalanan dari kampung mereka di Ipoh ke Kuala Lumpur tidak terlalujauh hanya mengambil masa dua jam mengikut highway tetapi bahayanya tetap ada. Apalah sangat yang boleh dilakukan budak berusia  lima tahun jika berlaku sesuatu dalam perjalanan itu nanti.
Dia mengeluh. Biasanya, mereka akan pulang bersama-sama tetapi memandangkan kali ini cutinya masih berbaki, dia mengambil keputusan untuk berlama sedikit di kampung.
Jauh disudut hatinya, dia memohon kepada Allah supaya menyelamatkan perjalanan adik dan anak saudaranya itu. Jauhkan mereka daripada sebarang rintangan ketika perjalanan.Pantas dia mengaminkan doanya.