BAB 16


Chempaka masih kaku didepan Firman. Wajah lelaki yang bersahaja itu direnungnya. Nampak tenang saja lelaki itu.
“Awakkk…” dia tak berani menghabiskan kata-katanya.
“Tahu kisah hidup Indah kan?” Firman bertanya. Chempaka laju saja mengangguk.
“Itulah dia papa kepada Iman Raykal. Suami kepada Nur Indah,” bersahaja Firman bersuara. Tiada perasaan marah, tiada juga perasaan geram terhadap adik iparnya walhal dulu dia pernah berjanji pada dirinya untuk membelasah lelaki yang bernama Harris Danial.
Tetapi kini dia sendiri tidak tahu mengapa dia tidak membelasah lelaki itu apabila lelaki itu muncul didepannya tadi. Mungkin juga dia melihat ada sinar kejujuran dimata Harris Danial.
“Kenapa abang tak pukul dia?” brutal betul gadis bernama Chempaka ini. Salah sikit suruh bantai, silap sikit suruh pukul,” dia membeliakkan matanya.
“Hish awak ni. Takkan abang nak pukul dia? Dua-dua salah.. Indah salah, Harris pun salah. Kalau seorang saja takkan perkahwinan itu boleh berlaku kan? Jadi abang tak boleh salahkan Harris seratus peratus. Adik abang itu pun salah juga. Kerana masing-masing  mahu mencuba,” Chempaka senyum.
 “Tetapi abang bersyukur sangat kerana lafaz akad nikah mereka termasuk dalam eksperimen mereka. Kalau mereka berzina hingga lahirkan anak, abang sendiri tak boleh bayangkan perasaan umi dan ayah abang,” panjang lebar Firman bercerita.
“Betul juga kan.. kalau mereka buat projek tanpa berkahwin lagi susah kan. Bukan setakat susahkan mak dan ayah abang tapi juga terpaksa menanggung dosa sepanjang hayat,” Firman angguk. Kata-kata Chempaka itu ada benarnya.
Baiknya hati abang boss ni. Kalaulah lelaki ini belum berpunya alangkah bagusnya. Bolehlah dibuat pasangan hidup, desis hati Chempaka.
“Tapi kenapa abang tak perkenalkan diri tadi? Beritahu siapa abang sebenarnya dan siapa Iman tu,” soal Chempaka. Dia agak pelik mengapa Firman tidak berterus terang tadi sedangkan dia punya kesempatan untuk berbuat demikian.
“Belum tiba masanya lagi. Tapi tulah abang tengok si Iman tadi tak tahan rasa sedih. Manja sangat dia dengan Harris tu. Mungkin dia dapat rasakan pertalian dia dengan Harris,” sedih dia melihat kelakuan Iman Raykal tadi.
“Abang harap Cham jangan ceritakan apa-apa pasal pertemuan abang dengan Harris tadi. Bukan abang nak rahsiakan tetapi abang mahu memberi ruang kepada Harris supaya mengenali Indah dengan lebih dekat lagi. Kalau boleh abang mahu mereka kekalkan hubungan suami isteri ini. Mereka ada Iman sebagai pengikat,” Firman memberi cadangan.
Chempaka turut bersetuju. Pada pandangannya, Harris dan Nur Indah begitu serasi bersama. Sama cantik, sama padan. Dan seperti yang dikatakan Firman tadi, mereka ada Iman Raykal sebagai pengikat kasih sayang.
“Orait boss..saya akan zip mulut ni kemas-kemas. Don’t worry, boss boleh percayakan saya,” chempaka melawak. Firman sudah tergelak-gelak melihat kenakalan staff adiknya itu. Wujud perasaan halus dalam dirinya. Perasaan yang selama ini tidak pernah dia alami dengan mana-mana gadis selain Chempaka.
“Okeylah abang, customer dah masuk tu. Saya ke depan dulu,” cepat saja Chempaka berlalu  ke bahagian kaunter. Dia mula berurusan dengan wanita separuh baya yang menghantar baju untuk didobi. Sempat juga dia menangkap butir bicara Chempaka.
“Sila isi font ni puan. Saya nak siapkan resit,” beritahu Chempaka. Buku resit  dikeluarkan. Dia mula menulis. Wanita itu, Firman lihat tidak banyak songeh hanya mengikut arahan Chempaka.
“Abang pun nak masuk dalam dulu,” dia melaung kepada Chempaka. Gadis itu mengangkat tangan tanda mendengar. Dia juga bergerak ke ruang belakang. Mencari kelibat Nur Indah. 
“Indah…” Nur Indah yang asyik menulis itu mendongak mukanya. Dia melemparkan senyuman kepada si abang.
Busy ke?” Firman bertanya. Kalau Indah tak menjawab pun dia boleh melihat sendiri adiknya bergelumang dengan kertas disekelilingnya.
“Mmm.. sangat-sangat..” Indah bersuara. Dia memusingkan badannya berkali-kali. Melegakan urat sarafnya yang terasa tegang itu. Masakan tidak, sejak jam 10 pagi tadi hingga sekarang, dia melihat jam didinding, kini sudah hampir 1 petang, dia masih belum bergerak-gerak lagi dari tempat duduknya.
Anak terunanya pun, dia tidak sempat nak bertanya ke mana perginya. Keluar dari biliknya, langsung tidak masuk-masuk.
“Indah rehatlah dulu. Risau abang melihat Indah macam ni. Kerja tak henti-henti. Apa yang kita ada ni sudah cukup untuk hidup Indah dan Iman nanti,”
“Tanggungjawab Indah pada Iman makin besar. Indah mahu Iman hidup seperti anak orang lain. Cukup semuanya. Apa yang rakan-rakan dia ada, Indah mahu anak Indah pun ada juga. Lagi pun perbelanjaan untuk Iman bukan murah lagi.
“Yuran Smart Reader Kids pun makin mahal bang..tahun lepas RM250 sebulan tapi tahun ni yurannya dah makin naik. Belum lagi masuk ke tahun satu…makin pening Indah nanti,” beritahu Nur Indah. Firman mengeluh. Sukar sebenarnya berurusan dengan Nur Indah. Ada saja alasan yang diberikan adiknya itu.
“Duit abang duit Indah juga. Siapa lagi yang nak tolong habiskan duit abang yang berkepuk tu,” Firman bergurau. Bulat mata Nur Indah mendengarnya. Abangnya masuk lif tekan sendiri.
“Weh abang ni.. mengaku duit berkepuk-kepuk. Dah kaya sangat ke? Kalau dah kaya sangat baik abang pergi bersedekah kat masjid, bagi pada rakyat Palestin sana tu, ada juga untungnya. Abang juga dapat pahala nanti,” Firman sudah tergelak besar mendengar kata-kata adiknya itu. Silap dia juga. Kan sudah kena pangkah dengan adik sendiri.
“Abang gurau sajalah. Tapi serius abang tak suka tengok Indah kerja keras macam ni. Abang ada.. kalau abang tak bantu adik, siapa lagi. Duit abang cukup lagi nak tanggung Indah dan Iman. Hanya Indah sorang je lagi adik abang yang tak lepas, Kak Zahraa dah kahwin dah ada anak, sudah jadi tanggungjawab suami dia tanggung dia anak beranak,” balas Firman.  Nur Indah diam. Dia tahu abangnya bimbangkan dirinya.
“Indah bersyukur sangat sebab Allah berikan Indah seorang abang yang bertanggungjawab seperti abang. Ada umi, ada abah dan ada Kak Zahraa setiap kali Indah perlukan bahu untuk menangis,” pantas dia peluk Firman.
Airmatanya menitis. Teringat dia pertemuannya dengan Harris Danial dua hari lalu. Mahu diceritakan kepada abangnya tetapi dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan perbualan itu. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk berdiam diri. 
“Abang tak jumpa Iman ke kat depan?” tiba-tiba Nur Indah bertanya. Pelukan mereka terlerai. Nur Indah mengesat airmata yang masih membasahi pipinya.
“Entah tak nampak pula tadi.  Anak Indah tu kuat merayap. Macam Indah tak tahu,” mati-mati adiknya kena tipu. Tapi kalau dia berterus terang Iman Raykal sedang menikmati ice cream bersama-sama Harris Danial, dia pasti ada yang pengsan nanti.
“Tulah dia.. anak Indah tu macam chips more. Kejap ada kejap hilang. Tadi adalah dia kat sini  tengok TV, mengacau Indah buat kerja. Dah kena marah baru nak beredar dari tempat Indah ni,” beritahu Nur Indah.Dia masih sibuk membuat sebut harga untuk memasuki tander menguruskan dobi hotel. 
“Abang jangan risaulah anak Indah tu pandai bawa diri. Sat lagi ada la tu. Ah.. abang  dengar tu, suara anak Indah. Iman ada kat depan tu. Kuat betul. Entah apa yang dia ceritakan pada Kak Cham,”
Tiba-tiba dia mendengar suara Iman Raykal diselang seli dengan suara Chempaka dan Amran. Entah apa yang mereka bualkan hingga terdengar gelak tawa Iman Raykal.
“Abang ke depan la. Nak jumpa budak Iman tu,” beritahu Firman. Dia angkat punggung untuk beredar. Lebih kepada misi sebenarnya. Misi untuk mengorek rahsia daripada Iman Raykal mengenai Harris Danial.
“Abang nak jumpa Iman ke atau nak jumpa pekerja Indah? Macam la Indah tak tahu kenapa sekarang ni abang Fir kerap benar datang ke kedai Indah ni. Kalau dulu nak datang ke sini kena bersuruh dulu. Kena pujuk rayu tetapi sekarang ni dua tiga kali sehari abang ke sini. Dah macam tak ada kerja pula abang ni, Indah nampak” dia sudah melihat Firman tersipu-sipu. Wajahnya berbahang. Malu la tu bila adiknya tahu tujuan sebenarnya dia ke kedai dobi.
“Nak Indah tolongkan?” Nur Indah bertanya. Abangnya menggeleng kepala.
“Tak apa abang boleh usahakan sendiri. Tak ada thrill la minta tolong orang. Benda ni kacang saja,” wah bongkak pula abangnya. Orang nak tolong menolak pula. Tolak tuah la tu.
“Suka hati abanglah. Tapi Indah nak ingatkan abang.. kak Cham tu abang nampak je lembut macam tu, tapi dia ni susah sikit nak melayan lelaki. Indah bimbang sampai ke sudahnya abang tak kahwin-kahwin.Waktu itu abang jangan salahkan Indah. Indah dah nak bantu abang tapi abang sombong,” Nur Indah menakut-nakutkan abangnya.
Wajah Firman sudah kelat. Berkerut-kerut. Nur Indah sudah mahu gelak sakan. Hahahaha… tahu takut.