BAB TIGA


SUDAH seminggu kejadian itu berlaku, bermakna sudah seminggu juga Nuha Qalisya  mogok dalam biliknya. Moodnya kerap bertukar dan tidak menentu. Nasib baik dia masih bercuti. Kalau tidak, dia tidak tahu bagaimana  mahu bekerja dalam keadaan dirinya yang tidak stabil begini.
Kerjanya sebagai jurutera di Gemilang Holdings memerlukan dia memberikan komitmen sepenuhnya kepada skop kerjanya. Namun, dalam situasinya sebegitu, dia tidak yakin dapat memberikan komitmen pada projek yang sedang dikendalikannya. Silap hari bulan dia boleh membuatkan majikannya kerugian berjuta ringgit.
Nuha Qalisya membuka pintu gelongsor biliknya. Sesekali angin segar menyapa mukanya. Dia menggigil kesejukan. Mungkin juga disebabkan hujan baru saja berhenti setengah jam yang lalu, menyebabkan udara malam itu begitu sejuk.
 Dia pandang ke arah langit, satu bintang pun tidak kelihatan. Pintu biliknya dibuka, terjongol wajah Maryam yang berbedak sejuk dan berbaju kelawar. Uniform rasmi gadis itu setiap malam.
“Apa kau fikirkan?” Maryam menghampiri Nuha Qalisya. Seperti temannya, dia turut memandang ke arah langit tetapi tiada objek yang menarik perhatiannya. Dia bukan pemuja bulan seperti temannya.
“Aku suka tengok langit… tengok bulan, tengok bintang. Bagi aku cantik sangat. Bersinar dan berkelip-kelip. Hati aku terasa begitu tenang dan damai. Tapi malam ni nampaknya mereka malu nak tunjukkan diri,” Nuha Qalisya bersuara lemah.
Pintu gelongsor biliknya ditutup semula. Pantas dia bergerak ke katilnya. Novel di atas meja dicapai. Satu persatu muka surat dibelek walaupun dia tiada mood langsung untuk membaca. Maryam turut merebahkan badan di atas katil. Bantal Tweety dipeluk erat.
“Kau masih terkenangkan mamat tu? Tak boleh ke kau lupakan dia?” Maryam yang bergolek-golek di atas katilnya tiba-tiba bersuara.  Nuha Qalisya diam. Malas mahu menjawab kerana dia sendiri tidak pasti sama ada sudah dapat melupakan Zariff Adam atau tidak.
“Kau masih sayangkan mamat tak empuk tu?” sekali lagi Maryam menyoalnya. Bulat mata Nuha Qalisya mendengarnya. Tak empuk dipanggilnya Zariff Adam. Hahahaha sakit perutnya menahan gelak.
“Tak empuk?”
“Iyalah tak empuk. Kau ingat mamat tu empuk sangat ke? Rebus lama mana pun aku tak rasa boleh empuk. Dah liat tu,”  Maryam bersuara kembali.  Bagi dia lelaki macam Zariff Adam itu bersepah-sepah di atas muka bumi ni dan tak wajar bagi Nuha Qalisya menangisi lelaki seperti itu.
“Sudah-sudah la tu. Aku tahu kau kuat. Zariff bukan jodoh kau. Aku tahu jodoh kau lebih baik daripada Zariff,” Bahu Nuha Qalisya ditepuk lembut. Sedih benar dia melihat keadaan temannya itu. Penangan putus cinta rupanya begitu teruk berbeza dengan Nuha Qalisya dulu.Pernah dia berfikir sekiranya temannya putus cinta bagaimanakah keadaannya. Hari ini dia sudah dapat jawapan.Sikap cool, tenang bagaikan tidak pernah langsung melekat pada Nuha Qalisya sebelum ini.
Sudah jenuh Maryam cuba menggembirakan  hati Nuha Qalisya, namun semuanya tidak berhasil. Nuha Qalisya seolah-olah berada di dunianya tersendiri. 24 jam termenung entah apa yang difikirkan dia sendiri tidak tahu. Nuha Qalisya tidak menjawab.
 “Tak perlulah kau fikirkan lagi, buat sakit hati saja. Dari kau duduk termenung macam orang mati laki ni, baik kau buat sesuatu yang berfaedah. Tak payahlah kau renung ke langit tu, malam ni langit gelap beb, baru lepas hujan,”ujar Maryam.
Nuha Qalisya menayang wajah sedih. Bibirnya dijuih ke depan.Maryam sudah tergelak-gelak. Novel yang dipegang tadi ditutup kembali. Mood membacanya sudah ke laut. Kain baju yang bertimbun di atas katilnya di capai dan dia mula menjalankan operasi melipat.
“Wah cantik muka kau tu. Aku nampak dah sebiji macam muka Mak Limah Lenggang hujung kampung kita tu,” Nuha Qalisya terasa nak hantuk kepalanya ke dinding mendengar kata-kata Maryam. Akhirnya dua-dua tergelak sakan.Maryam tarik nafas lega. Sekurang-kurangnya rakan baiknya itu dah mula bergelak ketawa.Tiba-tiba timbul idea untuk pergi bercuti.
“Nuha… jom kita pergi Mersing. Ada satu tempat tu nama dia Tanjung Leman… kata member aku tempat tu cantik, nyaman kalau nak tenangkan fikiran, aku rasa sesuai sangatlah. Lagipun, bila aku tengok keadaan kau yang tak serupa orang ni, memang wajib la kita pergi sana. Rasanya orang mati laki pun tak  macam ni,” bukkk… sebiji bantal terkena kepalanya. Bantal berbentuk Love itu ditilik.Memang sah la kerja Nuha Qalisya. Siapa lagi yang ada kat bilik ni selain dia dan temannya itu. Patung Tweety ni pulak memang hak milik Nuha Qalisya yang dihadiahkan Zariff Adam sempena Birthday temannya itu dua bulan lalu. Nuha Qalisya buat-buat tak tahu. Tangannya berpura-pura ligat melipat kain yang bertimbun atas katilnya.
“Macam la aku tak tahu kau yang lempar patung Tweety kan? Kau ni, mentang-mentanglah tuannya kau dah tak sayang, bantal tu pun kau jadikan tempat melepaskan geram. Bantal tu tak salah kawan… tuan ban….” Belum sempat dia habiskan ayatnya satu lagi  bantal Tweety melayang ke arahnya  tetapi kali ini dia sempat mengelak.Bantal yang dilemparkan Nuha Qalisya sebentar tadi kini diletakkan dikepalanya.
“Betul Nuha, pantai kat sana cantik, bersih. Resort dia pun cantik, member aku kata, tak mahal pun dalam RM290 semalam. Kira ok la tu beb,” Maryam kembali memberi fokus kepada perbincangan utama mereka tadi. Dari menelentang sebentar tadi, dia meniarap pula. Dua-dua kakinya diangkat ke atas. Sekejap itu juga betisnya terasa perit bila dicubit.
“Wei apa ni.. sakit tau,” dia menggosok betisnya.  Dia sudah duduk bersila atas katil Nuha Qalisya.
“Tak elok meniarap kaki dua-dua naik ke atas. Buruk benar aku tengok, dah tak serupa perempuan dah,” marah Nuha Qalisya. Maryam tersengih.
“Kita pergi ek..” Nuha Qalisya menepuk dahinya. Maryam masih tidak lupa mengenai Tanjung Leman. Wajah Maryam dipandang. Kalau boleh dia tidak mahu ke mana-mana. Langsung tiada hati untuk pergi bercuti atau berhibur dalam situasi hidupnya yang agak haru biru ini. Dia lebih gemar menghabiskan masa duduk termenung di bilik tidurnya.    
“Kau tahu Nuha, Tanjung Leman tu famous tau, tempat pengantin ambil gambar outdoor. Kita boleh la tengok nanti, mana la tahu kot-kot dapat ilham untuk buka perniagaan butik pengantin pulak.Mesti kau…..” masih belum tidak berputus asa temannya itu.
Bulat mata Nuha Qalisya memandangnya. Gila ke apa Maryam nak buka butik pengantin.Tangan pun tak berseni, ada hati nak buka butik pengantin. Getusnya. Maryam tak sempat menghabiskan kata-katanya. Tersalah cakap lagi ke ape ni. Wajah masam Nuha Qalisya dipandang.
“Aku silap cakap ek? Sorry… sorry, mulut aku ni dah lama tak diinsuranskan. Tak sempat beb, busy giler nih. Boss aku kau tahu saja la. Ala ko ni pun, dah tempat tu tempat popular untuk pengantin ambil gambar kahwin diorang, aku cakap la,” dia tergelak-gelak.
Agak seronok menyakat temannya itu seminggu dua ni. Kalau dulu, gadis itu begitu cool, tidak mudah naik angin tetapi sejak berpisah kasih dengan Zariff Adam perangai Nuha Qalisya seratus peratus berubah.
“Sat lagi aku booked resort tu. Kita ajak la Dora dan Ifa sama.Ramai-ramai pergi baru la best.Happening. Nanti tak la aku tengok muka kau, kau tengok muka aku.Kira pelbagai muka gak la kita boleh tengok. Kau setuju tak ni…” Maryam bercakap tak henti-henti, sebijik macam murai tercabut ekor. Nuha Qalisya menggeleng-geleng kepala, macam kereta api ekspres pun ada. Tak ada fullstop langsung.  
Aik bila masa dia bersetuju untuk ke Tanjung Leman? Desis Nuha Qalisya. Maryam menayang muka kasihan. Moga Nuha Qalisya terpengaruh apabila melihat wajah kasihannya. Sudah lama dia teringin nak ke sana dan keinginan itu makin kuat apabila mendengar kata-kata rakan di pejabatnya mengenai tempat itu. Tambahan pula, ayah rakannya mempunyai resort di Tanjung Leman.
“Kalau tak pergi tak boleh ke? Aku nak balik kampunglah. Tiba-tiba aku teringatkan umi aku. Dah lama sangat aku tak balik.. kan kan kan…last hari tu, dah dekat sebulan,” tiba-tiba idea balik kampung tercetus. Nuha Qalisya berharap mampu menukar fikiran temannya.
“ Oh no..no…no… cantik muka kau nak pesongkan fikiran aku. Usaha kau tu aku puji tapi belum mampu nak ubah keputusan aku ni. Biasanya bukan main liat lagi kau nak balik kampung. Macam-macam alasan kau bagi bila aku ajak kau pulang tapi hari ini tiba-tiba aje kau ingat kampung, rindu umi kau. Kau ni kan Nuha Qalisya, hebat betul berdrama.”Jari telunjuk Maryam bergoyang-goyang depan muka Nuha Qalisya sekali gus membuktikan usahanya memujuk Maryam gagal.
 “Aku malas la nak drive, bukannya dekat, dalam lima enam jam juga baru sampai. Itu kalau aku yang pandu kalau kau pandu aku rasa 8 jam baru sampai. Lagi pun Mar, bukannya cantik sangat pun tempat tu, aku dengar tempat tu sekarang dah kurang cantiknya.” Dia masih memancing simpati temannya itu. Maryam mendengus. Banyak pula alasan yang diberikan Nuha Qalisya.
“Nak kata orang drive macam kura-kura la tu. Aku bukannya apa Nuha, aku ni pemandu berhemah, bersopan santun. Kau ingat senang nak cari pemandu macam aku kat Malaysia sekarang ni? Tak de Nuha..takde, spesis macam aku ni sekarang dah banyak pupus…” Nuha Qalisya sudah berguling-guling mendengar kata-kata Maryam sebentar tadi. Ketawanya makin kuat, melihat wajah Maryam yang sudah bertukar warna.
“Aku tak kira, sat lagi aku book resort tu. Suka tak suka, kau kena suka jugak. Kita gerak pagi-pagi esok. Jangan nak mengada-ngada. Maryam sudah menggunakan kuasa vetonya.
  “Tolong ambil handphone aku tu, nak call Ifa dan Dora kejap. Manalah tahu diorang nak ikut kita,” Suara Maryam memecah lamunannya. Pantas Nuha Qalisya menghulurkan Note 11 kepada Maryam. Harap-harap mereka bersetuju. Doanya.Lebih ramai yang ikut lebih meriah percutian mereka.
Tetapi memikirkan kesukaran temannya itu setiap kali memohon cuti dia rasa harapan Maryam tidak akan kesampaian. Dia mahupun Maryam sememangnya mengetahui sikap puting beliung ketua jabatan Afifah, Encik Badrul, lelaki berusia 35 tahun tetapi sehingga kini masih membujang setiap kali temannya tiada di pejabat atau memohon cuti rehat.Perangai sama turut dipamerkan Helmy, pegawai atasan Edora.Masing-masing mempunyai angin sukar diramal.
Seperti yang dijangka, kedua-dua temannya tidak dapat turut serta mengikuti percutian yang dirancang Maryam.Jelas tergambar kehampaan diwajah Maryam.Namun Nuha Qalisya akur mengenai masalah yang dihadapi kedua-duanya.
“Nampaknya kita berdua je la..diorang kerja, susah nak dapat cuti sebab planning kita ni punmengejut,” Maryam menyembunyikan rasa kecewa kerana rancangan yang diatur tidak berjalan lancar. Agak terencat sedikit kegembiraannya untuk ke Mersing memandangkan dua rakan karib mereka tidak turut serta.
“Tahu pun kau susah nak dapat cuti. Dah tahu mereka susah nak dapatkan cuti kau buat juga planning emergency gini. Kalau mereka tak boleh pergi kita tunda la dulu. Bukannya urgent sangat kita nak pergi sana, bila-bila boleh. Lainlah mereka tu kerja kat  syarikat ayah kau. Bolehlah bila-bila masa diorang dapat bercuti,” Nuha Qalisya memulang paku buah keras, dia melihat temannya terkedu seketika.
“Hahahaha… lawak la kau ni.. Jika Haji Shariff, ayah aku tu ada syarikat tak perlulah aku sakit jiwa mendapat boss seperti Mr Kumar tu. Tidak pun, aku offer diorang bekerja dengan ayah aku, masa tu senang la kita nak pergi bercuti ke mana-mana, tak la sakit jiwa macam ni,” Maryam berangan-angan. Dia membayangkanHaji Shariffmempunyai syarikat sendiri dan dia pasti ayahnya akan menjadi seorang ketua yang baik dan disegani kakitangan bawahan.
Tetapi, ayahnya bukanlah orang kaya, dia hanyalah seorang petani, namun, ayahnya kaya dengan sikap penyayang, pemurah, rajin bekerja mencari rezeki untuk isteri dan anak-anak. Sebagai seorang anak, dia bangga mempunyai seorang ayah sebegitu  yang tidak pernah berkata tidak kepada permintaan anak-anaknya, walaupun keluarga mereka tidaklah semewah mana.
“Wei kenapa kejap tersengih, kejap tersenyum ni… siapa yang geletek hati kau tu? Hairan dia melihat kelakuan Maryam. Pantas bahu teman itu di tepuk, sekali gus menerbangkan angan-angan yang dipasang Maryam sebentar tadi. Kacau betul la Nuha Qalisya Mohd Razlan dia baru aja nak berangan-angan sudah kena caras. Gerutu Maryam.
Tanpa menjawab pertanyaan Nuha Qalisya, dia mencapai handphone di atas meja,  satu persatu nombor telefon Zakry Adlan ditekan. Rakan seuniversitinya yang ditemui semula selepas beberapa tahun menamatkan pengajian di universiti. Ketika itu dia menghadiri seminar. Bercakap hampir setengah jam, akhirnya dia meletakkan kembali di tempat asal.Kali ini wajah Maryam begitu ceria.
Dia mengukir senyuman tanda kelegaan. Bilik kosong masih ada. Kata Zakry Adlan memang rezeki mereka berdua kerana ada pengunjung yang membatalkan tempahan saat-saat akhir. Lebih bagus lagi Zakry Adlan, bermurah hati memberi diskaun sehingga 50 peratus untuk mereka menginap diresort  milik ayahnya itu. Nuha Qalisya hanya memerhati telatah teman rapatnya.Maryam berpaling kearahnya selepas selesai menelefon.
 “Cepat pack barang kau, esok pagi-pagi kita gerak ke Mersing. Aku nak bila aku masuk bilik kau nanti, kau dah siap pack baju. Kalau tak, tahulah apa aku nak buat,” kakinya melangkah keluar dari bilik Nuha Qalisya. Dia juga mahu mengemas pakaian untuk dibawa ke Mersing esok.
Nuha Qalisya termenung lagi. Pintu jendela ditutup apabila melihat hujan mulai turun. Pada awalnya dia hanya membiarkan mukanya dibasahi titisan air hujan, terasa nyaman dan segar. Hujan yang seawal tadi hanya gerimis kini semakin lebat. Akhirnya dia menutup kembali jendela.
Dia merebahkan badannya di katil. Satu persatu kenangannya bersama Zariff Adam mula terbayang. Dari awal perkenalan hingga ke akhir perhubungan. Tanpa disedari air matanya menitis dipipi. Begitu sukar untuk dia lupus kenangan itu.
Pantas selimutnya ditarik ke dada. Matanya cuba dilelapkan kerana esok dia perlu berjalan jauh. Jika diikutkan, dia malas nak bergerak ke mana-mana tetapi memikirkan Maryam yang sudah bersusah payah merancang percutian untuknya akhirnya dia mengalah. Dia tahu,  temannya itu hanya mahu menggembirakan hatinya, tidak mahu dia terlalu memikirkan masalah putus cintanya.
  Nuha Qalisya bingkas bangun dan mencari bag sandangnya. Pantas dia memasukkan beberapa helai T Shirt, jeans, tudung dan dimasukkan ke dalam bag sandangnya. Tidak  dilupakan juga tuala kerana dia tidak begitu selesa menggunakan tuala hotel yang tidak diketahui tahap kebersihannya. Jadi setiap kali pergi bercuti atau out station dia akan membawa tuala sendiri biarpun  tempat penginapannya itu adalah hotel mewah.
Selepas siap berkemas, dia melangkah ke katil. Butang Samsung Note 11 miliknya di on.  Sudah seminggu dia menutup handphone, gara-gara tidak mahu diganggu. Seperti dijangka, begitu banyak SMS dan misscalled. Satu persatu SMS dibaca dan semuanya dari nombor yang sama. Milik Zariff Adam.
‘Nuha sayang… please, jangan off handphone..tolong jangan buat saya begini… I love you sayang..’ dia tengok tarikh mesej itu… mmm sebaik selesai perjumpaannya dengan lelaki  itu. Dia masih ingat, selepas keluar dari Restoran Mahbob, dia terus menutup handphone sehinggalah dibuka tadi.
     Nuha Qalisya membaca mesej lain yang diterima, ‘sayang… saya bukan orang dalam gambar tu… plsss, awak tahu kan, Dania hanya masa lalu saya, dia bukan lagi ‘sape-sape’ pada saya sebaik saja kami putus tunang dulu,’ dia mengeluh. Hampir 30 SMS Zariff Adam diterimanya. Call apatah lagi, tidak kurang 50 misscalled daripada lelaki itu sejak dia menutup handphone.
Lagu Awan Nano nyanyian Hafiz AF yang dijadikan ringing tone telefonnya berbunyi. Zariff Adam! Call itu direjectnya. Malas dia mahu berbicara dengan lelaki itu pada masa ini. Dia belum bersedia untuk bercakap dengan sesiapa.
Sekali lagi lagu Awan Nano kedengaran.Dia mengeluh lagi. Tidak jemukah lelaki itu menghubunginya walaupun tahu dia tidak akan mengangkat panggilan itu. Beberapa saat kemudian Lagu Awan Nano berhenti berbunyi, bermakna si pemanggil sudah meletakkan telefon, mungkin itu tanda berputus asa apabila panggilannya tidak diangkat. Dia menarik nafas lega.
Dia kembali merebahkan badannya. Selimut ditarik semula menutup badannya. Matanya dipejam. Dia mahu merehatkan minda, tidak mahu terlalu memikirkan masalah yang dihadapinya. Sedar tak sedar, dia terlelap hingga pagi