BAB LIMA

Seperti dijanjikan, malam itu Nuha Qalisya dan Maryam melangkah ke restoran.  Dia hanya mengenakan T shirt lengang panjang dan skirt labuh, kepalanya ditutupi tudung Aryani fesyen terkini manakala Maryam memakai blouse dan jeans.Kedua-duanya nampak santai.
Dari satu sudut, dia melihat Akif Irham melambai ke arahnya, pantas kedua-dua gadis itu mengatur langkah. Angin malam bertiup kencang, dia sedikit menggigil,  nasib baik dia memilih baju berlengan panjang tadi.
      “Sorry lambat sikit,” kata Nuha Qalisya menarik kerusi di depan Akif Irham. Maryam duduk bersebelahannya.Pakaian yang dipakai lelaki itu berbeza berbanding petang tadi. Jika petang tadi dia memakai pakaian sukan, malam ini dia nampak kacak dengan T Shirt dan jeans dan kasut sport Nike. Nampak begitu santai, sesuai dengan suasana malam seperti ini.
“Tak apa, saya pun baru je sampai,” menu di tangannya dihulurkan. Kecur air liur Nuha Qalisya melihat pelbagai makanan yang begitu menyelerakan.
“Nuha nak makan apa?” soalnya. Maryam disebelah berdehem. Empat mata serentak memandang ke arahnya.
“Awak tak tanya saya pun,” Maryam menayang muka sedih. “Tak baik tau...”Suka benar dia menyakat Akif Irham, dia boleh nampak lelaki itu bersungguh cuba memikat  Nuha Qalisya. Lelaki itu sampai terbatuk-batuk dibuatnya. Akif Irham terkedu. Ketara sangat ke percubaannya untuk memikat gadis itu. Nuha Qalisya terdiam, malas dia mahu menyampuk, dia tahu Maryam gemar berjenaka tetapi kali ini jenaka temannya itu agak memalukan orang lain.
 “Mar…tak baik tau buat Encik Akif macam tu. Malu dia…” nasihat Nuha Qalisya.Wajahnya berbahang. Malu. Maryam tersengih. Dia tahu gurauannya tadi agak melampau, rasa bersalah mulai bersarang dihatinya.
“Sorry… sorry saya gurau je. Awak marah ker?” Lembut je suaranya. Mungkin terfikir apa yang dikatakan Nuha Qalisya tadi. Akif Irham tersengih. Dia bukannya cepat melatah atau cepat naik marah, apa yang dikatakan Maryam tu memang ada benarnya. Dia ghairah bertanya itu dan ini pada Nuha Qalisya sehingga melupakan Maryam yang turut bersama mereka.
“Nampak sangat ke saya cuba nak pikat Cik Nuha kita ni?” pertanyaan Akif Irham mengundang ketawa Maryam. Pantas menu di tangan Nuha Qalisya diambil, kalau setakat menu itu ditilik alamatnya mereka terus kelaparan selepas ini.
“Nampak tak nampak sangat la..tapi sikit ketara. Tapi kalau betul-betul apa salahnya. Cik Nuha kita ni pun masih belum berpunya, tak tahulah awak,” meleret senyum Akif Irham mendengar kata-kata Maryam. Nampak gayanya Maryam memberi klu kepadanya. Nuha Qalisya buat-buat bodoh, malas dia nak melayan dua makhluk Allah di depannya.
“Saya pun belum lagi. Kawan tu ramai la tapi yang special belum ada. Tengah cuba-cuba la ni, mana tahu kot-kot ada rezeki saya. Tak gitu cik Nuha,”Akif Irham bersuara.
Nuha Qalisya diam. Malas dia nak membalas kata-kata lelaki itu. Apa yang pasti dia tidak berminat untuk berkenalan lebih jauh dengan Akif Irham.Entah mengapa bayangan Zariff Adam semakin kuat diruang matanya.
          “Nak saya tolong orderkan ker?” Akif Irham memesong butir bicara. Nuha Qalisya dan Maryam serentak mengangguk. Lebih baik lelaki itu yang membuat pesanan kerana dia pasti lebih arif tentang apa makanan yang istimewa di situ. Pantas Akif Irham memanggil pekerja restoran kebetulan berada tidak jauh dari meja mereka.
“Kami nak order nasi, ketam goreng mentega, sotong tepung, ikan tiga rasa, kangkung goreng belacan dan tom yam campur. Untuk tiga orang makan,” katanya menghulurkan menu kembali.
            “Thanks Mira,” perempuan itu mengangguk, sebelum berlalu pergi.
“Awak kenal perempuan tu ker?” Maryam bertanya. Nuha Qalisya menjengkilkan biji matanya. Ya Allah Mar..Mar sikap suka tepi jaga kain orang masih belum hilang lagi rupanya.
“Marrrr…” panggil Nuha Qalisya geram. Temannya kalau diberi peluang bercakap inilah jadinya.
“Sorry encik Akif.. Maryam ni agak melampau sikit. Semua benda nak ditanya, semua benda nak ambil tahu,” pantas bahu si teman ditepuk agak kuat. Geram sebenarnya dengan sikap Maryam yang gemar mengambil tahu hal orang lain.
“Alah benda kecil je... Saya tak kenal pun pelayan tu cuma tadi saya tertengok name tag dia, tertulis nama Ameera. Sebab tu saya tahu,” Akif Irham berterus terang. Maryam tergelak.Tidak terfikir pula dia sampai ke situ.
“Awak asal orang sini?” makin ramah Maryam bertanya. Entah mengapa dia dapat rasakan lelaki itu cukup dikenali di Sun Beach resort.
“A’ah..tetapi bekerja di Kuala Lumpur. Kalau ada kelapangan, setiap minggu saya balik ke Mersing, kalau tak secara sukarela dengan paksaan,” Akif Irham ketawa bila mengingatkan perangai mamanya yang tidak betah melihat dia adik beradik berjauhan dari keluarga.
“Kena paksa? Siapa yang paksa awak?,” butir bicara Akif Irham menarik perhatian Nuha Qalisya. Dari tadi dia hanya mendengar mereka bercerita, tidak pula berhasrat untuk mencelah tetapi mendengar kata-kata akhir lelaki itu tiba-tiba dia berminat mengikut serta dalam perbincangan itu.
“Siapa lagi yang berani paksa saya kecuali mama saya. Kami adik beradik tidak boleh jauh dari dia. Jadi kami ikutkan saja kemahuan mama untuk pulang ke sini seminggu sekali.  Bimbang rumah kosong katanya tetapi kami tahu, mama tidak betah tinggalkan rumah dia tu lama-lama. Mama pun busy kat KLtetapi akan pastikan setiap hujung minggukami habiskan masa di Mersing,” dia bercerita. Nuha Qalisya hanya mendengar.
Mmm.. anak mama rupanya, desis Nuha Qalisya. Dia mula terbayang kesukaran yang dialami sekiranya bercinta dengan anak emak seperti dua tiga teman officenya. Wajah kak Maznah terbayang diruang matanya.
Setiap hari dia mendengar keluh kesah kak Maznah yang sering bertelegah dengan suami hanya disebabkan ibu mertuanya kerap campur tangan dalam hubungan mereka suami isteri. Tiba-tiba saja dia rasa fobia dengan situasi itu.
“Awak ada berapa adik beradik,?” makin banyak pula soal selidik Maryam. Dah macam polis pencen lagaknya. Akif Irham yang baru saja menyudu sup berpaling ke arahnya. Dia melemparkan senyuman.
“Mmm…lima orang. Saya yang sulung. Kedua lelaki, ketiga perempuan tetapi dah kahwin, sekarang tinggal di London ikut suaminya bekerja di sana. Keempat lelaki berusia 20 tahun masih menuntut di UIAM, si bongsu perempuan berusia 15 tahun,” panjang lebar lelaki itu bercerita perihal keluarganya.
Sesekali matanya melirik ke arah Nuha Qalisya yang buat tidak peduli dengan pertanyaan temannya. Keluarga saya bakal jadi keluarga awak juga nanti. Bisiknya nakal. Berkerut-kerut wajah Nuha Qalisya apabila dia merasakan ada mata yang asyik memandangnya.
Makanan yang dipesan sudah memenuhi meja. Hampir penuh satu meja.Melihat keenakan ketam dan sotong, Nuha Qalisya sudah tidak sabar untuk menikmati hidangan yang disediakan tetapi melihat begitu banyak makanan yang disorder Akif Irham dia mula rasa ia satu pembaziran.
         “Banyak sangat awak… habis ke kita makan semua ni? Perut saya taklah besar sangat nak masukkan semua ini, ” Nuha Qalisya mengeluh melihat pelbagai menu terhidang di atas meja. Rasanya tadi takdelah sebanyak ini yang diorder Akif Irham. Bimbang akan berlaku pembaziran makanan.  Akif Irham ketawa.
         “Tak pe la awak..sekali-sekali saya belanja makan. Nanti  entah bila pula saya boleh belanja awak makan begini. Kalau tak abis nanti, kita bungkus kalau awak lapar tengah malam bolehlah makan lagi,”
“Sila makan tuan puteri berdua. Harap menu yang saya order ini menepati selera anda berdua,” Akif Irham membaca doa makan dan diaminkan oleh kedua-dua gadis itu.
Sejam kemudian masing-masing bersandar kekenyangan.Selepas menikmati makanan Nuha Qalisya bersedia untuk meminta diri naik ke bilik tetapi melihat Maryam dan Akif Irham masih rancak bersembang dia terpaksa juga bertahan.
Sudah beberapa kali dia menguap.Melihat keadaan Nuha Qalisya, Maryam meminta diri untuk naik ke bilik.
“Thanks awak untuk dinner yang enak ini,” Maryam bersuara. Dia sudah bersedia untuk berlalu dari situ. Nuha Qalisya turut mengiyakan.
“Betul tu.Esok bolehlah saya makan di sini lagi,” katanya berseloroh. Akif Irham tersenyum. Jika Nuha Qalisya mahu makan hari-hari di sini pun dia tiada masalah. Setakat belanja gadis berdua tu takkan jatuh miskin pun.
“Nuha saya harap pertemuan ini bukan untuk terakhir. Saya berharap lepas ini akan wujud pertemuan buat kali kedua, ketiga dan kali seterusnya,” katanya. Senyum Maryam pun sudah lain macam.
Dia menghulurkan sekeping kad perniagaan kepada Nuha Qalisya. Mahu tak mahu Nuha Qalisya terpaksa menghulurkan kadnya pula  kepada Akif Irham selepas melihat lelaki itu seolah-olah menanti sesuatu daripadanya.
           “Saya akan call awak..sebab saya tahu awak tak akan call saya…” katanya dengan nada bergurau, tetapi itulah hakikat sebenarnya, dia tahu gadis itu tidak berminat untuk menjalinkan hubungan dengan lelaki saat ini.
Dia tahu di sebalik kehadiran kedu-dua gadis itu ke Tanjung Leman adalah untuk mengubat hati luka Nuha Qalisya. Itu yang diberitahu Maryam kepadanya ketika Nuha Qalisya ke toilet sebentar tadi.
 Kata Maryam, hati Nuha Qalisya kini terluka. Kalau mahu berkawan dengan gadis itu dia perlu mempertingkatkan kesabaran. Ketika ini Nuha Qalisya sukar menerima lelaki dalam hidupnya.
Jadi dia perlu mengikut rentak dan angin gadis itu jika mahu berjaya menawan hati Nuha Qalisya.Beberapa minit kemudian masing-masing berpisah selepas keluar dari restoran berkenaan. Nuha Qalisya dan Maryam kembali ke bilik manakala Akif Irham mengambil keputusan untuk pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira setengah jam dari resorts.